Mungkin dahulu panduan mengerjakan haji banyak tertumpu kepada kelas-kelas yang disediakan dan buku-buku agama.
Namun begitu, bakal jemaah haji hari ini boleh mendapatkan apa sahaja bentuk maklumat mengenai cara menunaikan haji dan panduannya dengan mudah menggunakan internet.
Antara portal yang menyediakan maklumat mengenai panduan menunaikan haji adalah seperti berikut:
http://www.dalil-alhaj.com/my/intro.htm
http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/panduanlengkaphajidanumrah.htm
http://www.al-azim.com/haji/
http://www.mitrakembara.com.my/panduanhaji/
Malah buku digital atau E-book mengenai panduan menunaikan haji dan umrah oleh ustaz-ustaz agama juga banyak di jual di Internet.
Bukan itu sahaja, pengalaman ramai jemaah haji yang telah menunaikan haji dahulu telah banyak diceritakan dalam bentuk blog atau dimuatnaik di akaun media sosial masing-masing sekaligus tips dan panduan dapat dikongsi bersama kepada bakal jemaah haji yang lain.
Menurut Editor Eksekutif Astro Awani, Razak Chik, yang bakal menunaikan haji September ini, selain menghadiri kelas agama dan membaca buku panduan haji, beliau juga banyak merujuk beberapa maklumat dari tulisan ustaz-ustaz agama di internet.
“Kadangkala bila kita menghadiri kelas yang disediakan, tidak semua maklumat yang disediakan mudah difahami. Dengan bantuan internet, saya boleh mencari maklumat lanjut yang saya perlukan” katanya lagi
Semakin banyak maklumat yang dicari, semakin jelas pemahaman mengenainya, tambahnya lagi yang menggemari tulisan Ustaz Abu Hassan di internet mengenai panduan mengerjakan haji.
Selain itu, lebih mudah barangan kelengkapan menunaikan haji juga boleh didapati secara online.
Dari kain ihram sehingga ke bantal udara ada dijual untuk membantu jemaah haji membuat persediaan.
Salah seorang penjual barangan keperluan jemaah haji secara online, Ahmad Rohim ketika dihubungi berkata, kini ramai yang memilih untuk membeli kelengkapan menunaikan haji secara dalam talian.
“Kelengkapan seperti telekung dan ihram paling banyak dijual memandangkan barangan ini tidak memerlukan saiz yang tepat kepada pengguna. Satu saiz sahaja boleh dipakai semua” katanya lagi.
Menurut seorang lagi penjual barangan kelengkapan haji, Feriasta Asral, membeli secara online lebih mudah dan cepat.
"Mudah beli secara online, kerana selain menjual keperluan lengkap, kami juga ada sediakan senarai barangan yang pelanggan perlukan ketika di sana. Jadi pada mereka yang sibuk dan terkejar untuk membuat persiapan, boleh melihat senarai yang ada, pilih dan beli sahaja secara online" katanya menutup bicara.
Lebih mudah sekarang, aplikasi panduan haji juga boleh didapati dari Apps Store dan Android yang boleh dimuat turun terus ke telefon bimbit anda.