KUALA LUMPUR: Semasa menaiki penerbangan ke United Kingdom (UK) untuk melanjutkan pengajian kira-kira tiga dekad lalu, tidak terlintas di fikiran Lily (bukan nama sebenar) yang dia mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia sebagai tanah airnya.
Niatnya ialah akan pulang selepas menamatkan pengajian. Namun, hasrat itu sentiasa tertangguh lantaran ada sahaja matlamat baharu yang ingin digapai. Tahun demi tahun berlalu, kepakarannya dalam bidang yang diceburi semakin ampuh dan hasrat untuk kembali ke Malaysia meluntur.
Kini UK adalah tanah airnya, di mana dia bekerja dalam bidang perubatan, dan Malaysia pula menjadi sebuah negara yang hanya dikunjungi untuk menziarahi ibu serta adik-beradiknya.
"Memang bukan niat asal saya untuk tidak kembali. Ketika itu lebih kepada 'jalani latihan dan selepas itu balik'. Namun, inilah yang dikatakan kehidupan," kongsi wanita berkenaan kepada Bernama melalui Zoom.
Lily adalah seorang daripada kira-kira 1.86 juta wanita Malaysia yang menetap di luar negara, menurut angka terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Angka itu mungkin nampak tidak besar, namun jumlah tersebut sebenarnya mewakili 12 peratus daripada populasi wanita di Malaysia yang seramai kira-kira 15.6 juta orang.
Malah, pada 57 peratus, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini yang wanitanya paling ramai berhijrah ke negara lain selepas Thailand. Angka itu sebenarnya melangkaui purata global pada 48 peratus.
Hakikat lebih ramai wanita meninggalkan negara ini bagi mencari rezeki berbanding lelaki tidak dianggap sebagai sesuatu yang buruk oleh pakar. Sebaliknya mereka melihat perkembangan itu sebagai selaras dengan trend global.
Bagaimanapun bagi perunding Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Suriani Kempe yang menyifatkan angka 57 peratus itu sebagai "besar", isu tersebut menimbulkan persoalan tentang faktor yang mendorong lebih ramai wanita berhijrah berbanding lelaki, dan sama ada trend ini sesuatu yang harus dibimbangi negara.
"Wanita berhijrah tidak bermakna mereka tidak akan kembali, betul tak? Namun, jika ada dasar yang bersifat diskriminasi yang menghalang mereka daripada kembali, kerajaan wajar berasa bimbang," ulasnya.
Beliau bercakap kepada Bernama selepas mengendalikan bengkel anjuran Institut Asia Pasifik bagi Pembangunan Penyiaran (AIBD) mengenai Pelaporan Inklusif dan Peka Gender berhubung Pekerja Migran Wanita baru-baru ini.
CURAH AIR KE DAUN KELADI
Beberapa dekad yang lepas, sebab utama wanita meninggalkan negara ini ialah sama ada melanjutkan pengajian ataupun mengikut suami ke luar negara. Kini, semakin banyak penyebab yang menyumbang kepada senario itu.
Walaupun tidak ada kajian khusus mengenai sebab mereka berhijrah, pakar bersetuju faktor lain yang mendorong wanita Malaysia berbuat demikian ialah untuk memajukan kerjaya dan meraih pendapatan lebih tinggi. Sebelum ini isu itu hanya dikaitkan dengan lelaki.
Pakar juga bersetuju kebanyakan wanita terbabit berkemungkinan besar berpendidikan tinggi dan merupakan golongan profesional, memilih berhijrah ke negara yang lebih maju dan kaya.
Jika sebelum ini laporan media menampilkan lelaki kelahiran Malaysia mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa, kini semakin ramai wanita Malaysia yang mengisi slot itu, antaranya ialah Timbalan Ketua Juruteknologi di Ibu Pejabat Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Florence Tan serta pakar perunding genetik dan penyelidik barah di UK, Dr Serena Nik Zainal.
"Sesetengah orang kata (kebanyakan wanita berhijrah) ikut suami. Pada masa sama, saya percaya ada wanita yang putuskan untuk berhijrah kerana kepakaran mereka lebih dihargai di tempat lain," ulas Naib Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Farid Basir.
Pendek kata, masa mungkin telah berubah, namun masih banyak perkara yang kekal sama.
Terselit dalam senarai alasan yang diberikan ialah isu diskriminasi gender yang mungkin merupakan antara penyumbang utama kepada penghijrahan wanita ke luar negara. Menurut Lily, antara sebab dia menetap di UK ialah kerana dia berasakan dia tidak akan dapat mencipta banyak kejayaan jika balik ke Malaysia selepas tamat pengajian.
"Di sana (UK), struktur itu memang sudah ada selain sistemnya juga lebih bermeritokratik. Di Malaysia, tidak kiralah walau sebagus mana pun kita, kita tidak akan dapat apa-apa berasaskan merit sebab terlalu banyak perkara yang diberi tidak bersandarkan meritokrasi," ujarnya.
"Saya selalu berasakan yang kaum hawa dipinggirkan," tambahnya.
Pakar berpandangan kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah adalah tanda wujudnya diskriminasi gender. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 55.3 peratus wanita menyertai pasaran tenaga kerja, iaitu antara yang terendah di Asia Tenggara sekalipun kaum hawa mewakili 61 peratus lepasan universiti di negara ini.
Prof Noraida Endut daripada Unit Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia pula memberitahu Bernama trend itu membimbangkan, khususnya jika keadaan tersebut bermakna wanita berhijrah kerana tidak banyak peluang untuk mereka di sini.
"Kaum wanita tahu, jika mereka pulang ke Malaysia dan memegang jawatan yang sama ketika di luar negara, peluang untuk kerjaya mereka berkembang adalah tipis. Atau, mungkin perlindungan yang ditawarkan tidak memadai, contohnya persekitaran mesra keluarga di Malaysia yang tidak setanding dengan negara lain," hujahnya, menambah ada keperluan agar lebih banyak kajian dilakukan.
Menurut beliau, wanita dan lelaki dalam sektor awam mungkin bermula setara, namun selepas satu tempoh dan mereka mula membina keluarga, perkembangan kerjaya wanita seolah-olah terhenti berbanding lelaki.
"Laluan kenaikan pangkat tidak begitu jelas untuk wanita berbanding lelaki. Justeru, rasa kecewa mungkin timbul dari situ," ujarnya.
Farid yang juga Ketua Pegawai Sumber Manusia MBSB Bank, berkata wujud pemutus di antara kadar penyertaan pasaran buruh dan jumlah besar siswazah wanita.
"Kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang rendah berbanding jumlah siswazah menunjukkan kita tidak mengoptimumkan bakat yang ada," katanya, menambah amat penting bagi Malaysia memanfaatkan sepenuhnya bakat yang belum dicungkil bagi mencapai kejayaan ekonomi yang lebih hebat tatkala Malaysia ke arah negara menua.
Menurutnya, untuk berbuat demikian, majikan perlu mewujudkan satu struktur bagi wanita mencapai jawatan kepimpinan tertinggi dengan menyediakan platform pembangunan untuk membimbing mereka menerusi sasaran.
Di Malaysia, lelaki mendominasi jawatan pembuat keputusan dalam kerajaan serta sektor perkhidmatan awam dan swasta sekalipun wanita mewakili 48.6 peratus daripada populasi negara.
Setakat 29 Sept 2021, wanita hanya menguasai 14.9 peratus atau 33 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala kepimpinan wanita dalam sektor awam pula pada 38.2 peratus dan dalam 100 syarikat tersenarai awam utama sebanyak 25.8 peratus.
DISKRIMINASI KELUARGA
Bagi sesetengah wanita, diskriminasi mungkin bukan penyebab mereka berhijrah, namun yang pasti isu itulah yang menghalang mereka kembali.
Pakar bersetuju kemungkinan besar isu kerakyatan adalah halangan utama yang harus didepani oleh wanita Malaysia apabila mereka kembali ke tanah air.
Bagi mereka, kepulangan ke Malaysia merupakan satu proses yang sukar dan memerlukan belanja besar sekiranya pasangan mereka adalah warga asing dan anak-anak pula lahir di luar negara, berbanding cabaran yang perlu dihadapi oleh lelaki.
Undang-undang Malaysia memperuntukkan seseorang ibu rakyat Malaysia tidak boleh menganugerahkan kerakyatannya kepada anak yang lahir di luar negara, iaitu hak yang pada masa ini hanya dimiliki oleh lelaki. Menurut undang-undang itu, hanya anak yang dilahirkan di Malaysia oleh ibu warga Malaysia sahaja layak mendapat kerakyatan secara automatik.
"Hakikat bahawa jika wanita itu berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara yang mana anak itu tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia, barangkali adalah penghalang mereka daripada kembali. Ini kerana mereka didiskriminasi di negara sendiri," kata Suriani.
Beliau merupakan antara litigan dalam kes bersejarah Family Frontiers yang kini pada peringkat rayuan. Kes itu menyaksikan Mahkamah Tinggi memutuskan ibu warga Malaysia berhak menganugerahkan kerakyatan Malaysia kepada anak yang lahir di luar negara. Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan pada 22 Jun ini.
Menurut Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang dipertanggungjawabkan membawa pulang golongan profesional Malaysia, wanita hanya merangkumi 23 peratus daripada 5,774 orang yang mengambil peluang daripada Program Kepulangan Pakar bagi tempoh 2011 hingga 2020.
Antara insentif yang ditawarkan ialah pelepasan cukai dan taraf penduduk tetap (PR) kepada pasangan dan anak-anak.
Noraida berpandangan tawaran status PR itu tidak mempunyai tarikan kerana bagi lelaki Malaysia, anak mereka layak menjadi warga Malaysia secara automatik sementara pasangan pula boleh memohon status kerakyatan selepas beberapa tahun menetap di negara ini.
"Tawaran yang diberikan kepada lelaki dan wanita Malaysia adalah tidak sama. Mereka harus melalui proses yang berbeza untuk mendapatkan status kerakyatan atau PR di Malaysia. Jadi memang benar ada diskriminasi dalam soal ini," katanya, menambah wanita Malaysia juga berdepan masalah untuk mendapatkan status PR bagi anak-anak mereka.
Selain itu, kos kehidupan juga lebih tinggi bagi yang bukan rakyat, termasuk penjagaan kesihatan dan pendidikan, bermakna wanita Malaysia perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar untuk anak-anaknya jika mereka mahu kembali dan menetap di negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, ekoran itu, ramai wanita memutuskan untuk terus tinggal di luar negara kerana, bergantung pada negara tuan rumah, anak-anak mereka mungkin layak menikmati pelbagai faedah di negara berkenaan.
"Sekalipun anda bukan warganegara, anda dapat banyak faedah (di sesetengah negara)," katanya kepada Bernama.
Antara faedah yang tersedia di luar negara ialah penjagaan anak, khususnya anak berkeperluan khas. Sekalipun Malaysia mempunyai kemudahan dan sistem penjagaan anak yang baik, beliau berkata kemudahan itu terhad dan tidak mudah diakses oleh golongan biasa.
Nik Nazmi yang pernah menulis artikel tentang penghijrahan intelek (brain drain) dan mempunyai ahli keluarga yang menjadi sebahagian daripada 3.15 juta rakyat Malaysia di luar negara, berkata kerajaan wajar menimbang untuk lebih fleksibel dari segi kerakyatan bagi mengelakkan isu penghijrahan intelek bertambah teruk.
"Apabila hanya satu kerakyatan ditawarkan, ini memaksa seseorang itu membuat pilihan. Sebagai sebuah negara yang masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan, penyelidikan akademik serta lain-lain, kita akan kerugian," tegasnya.
Pakar mengesyorkan, antara lain, pemberian status khas atau visa bagi mereka yang mempunyai hubungan leluhur dengan Malaysia, atau membenarkan pemilikan dua kerakyatan.
Lily yang mengaku isu kerakyatan adalah halangan terbesar untuknya pulang dan menetap di Malaysia, berkata dia tidak mungkin kembali melainkan ada perubahan dalam aspek itu.
"Saya sekarang ada keluarga, ada anak-anak di sini, sekali gus menyukarkan (untuk kami kembali) kerana mereka tidak ada dua kerakyatan atau yang seumpamanya," kata wanita itu.
"(Jika kerajaan membenarkan dua kerakyatan untuk anak-anak saya) ruang untuk saya kembali tidak tertutup sepenuhnya. Malah, saya mungkin menimbang secara lebih serius hal itu," tambahnya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jun 07 2022
Bagi sesetengah wanita, diskriminasi mungkin bukan penyebab mereka berhijrah, namun yang pasti isu itulah yang menghalang mereka kembali. - Gambar hiasan
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 21 November 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Waran ICC langkah kritikal mempertanggungjawab pemimpin Israel - BDS
BDS menyeru negara agar mengambil tindakan lebih lanjut dengan memenuhi kewajipan mereka untuk mengenakan sekatan sasaran ke atas Israel.
25 tokoh wanita dipilih menerusi inisiatif PERANTIS 2024 KPWKM - Nancy
Sebanyak 25 tokoh wanita yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang telah dipilih untuk menerima geran peruntukan menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2024.
Tumpuan Jumaat – 22 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (21 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Lebih RM23 juta tunggakan premium oleh agensi pembangunan tanah persekutuan - MB Kelantan
Lebih RM23.4 juta jumlah tunggakan premium serta bayaran lain yang belum dijelaskan oleh agensi pembangunan tanah persekutuan di Kelantan.
Daftar Pemilih Tambahan Oktober 2024 dibuka untuk semakan - SPR
Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober Tahun 2024 (DPT BLN10/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 20 Dis.
Polis minta bantuan orang ramai kesan dua remaja perempuan hilang
Kedua-dua remaja berkenaan ialah K. Rimashini, 15, dan Nur Adleena Batrisyia Mohd Saiful Nourman, 16.
PM Anwar ajak orang ramai hadir ke Program Dua Tahun Kerajaan MADANI
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai hadir ke Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan berlangsung bermula esok hingga Ahad di KLCC.
Jumlah pemimpin wanita di Malaysia masih rendah - Teo
Jumlah wanita yang menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri di Malaysia masih rendah, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Pegawai farmasi rugi RM120,000 ditipu pelaburan tidak wujud
Seorang lelaki kerugian sebanyak RM120,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan dua wanita.
Tidak ada perang lain jadikan wanita, kanak-kanak sasaran seperti di Gaza - Erdogan
Selama 13 bulan yang lepas, lebih dua pertiga daripada lebih 50,000 orang awam yang terbunuh di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
Wanita perlu terus bersuara untuk tingkat representasi dalam Parlimen
Dr Ramli menggesa kaum wanita untuk terus bersuara dan memperjuangkan peningkatan representasi wanita di peringkat Parlimen menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Wanita mampu tonjol kebolehan dengan anjurkan aktiviti sukan - Nancy
Nancy Shukri berkata dengan pembudayaan sukan juga boleh meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental masyarakat.
Wanita rugi lebih RM260,000 angkara 'Love Scam'
Seorang wanita berputih mata selepas terjerat sindiket 'Love Scam' menyebabkan kerugian lebih RM260,000, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Abigail buktikan wanita pun hebat dalam gusti lengan
Tidak dinafikan sukan gusti lengan sering kali dikaitkan dengan golongan lelaki kerana memerlukan kekuatan tangan dengan majoriti atlet dilihat memiliki badan yang besar atau 'sado'.
Nancy seru wanita jalani ujian mamogram
Kaum wanita diseru supaya lebih peka dan sedar kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya berkaitan payudara dengan melakukan pemeriksaan berkala.
Usahawan wanita: Data tepat mudahkan bantuan dan sokongan - Tengku Zafrul
Kajian akan membantu penghasilan data yang tepat, sekali gus membolehkan bantuan dan sokongan yang lebih bersasar diberikan.
Memahami sel tumor kanser payudara bersifat agresif
Tumor jenis agresif umumnya dikesan dalam kanser payudara ialah triple-negative dan HER2-positive, yang mana selalunya lebih sukar dirawat, menjadikan diagnosis awal dan tindakan segera kritikal.