Menurut Penganalisis Ekonomi, Datuk Madeline Berma, salah satu inisiatif yang boleh dilakukan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan ialah dengan mewujudkan jualan bergerak barang keperluan harian kepada penduduk projek perumahan rakyat (PPR).
Ia boleh dilakukan dengan menggunakan bas atau trak bagi menjimatkan kos pengangkutan penghuni PPR sekiranya mereka perlu bergerak mencari barang keperluan harian.
“Kalau kita gabungkan harga barang dan kos pengangkutan pasti ramai akan rasa lagi susah.
"Saya terbayangkan bas cantik dan lebih bagus bas dua tingkat. Zaman dulu, masa saya membesar ada orang jual naik basikal, kita perlu mengawal harga dan memikirkan bagaimana nak mudahkan trak dan derma kepada PPR,’’ katanya.
BACA SEMUA BERHUBUNG INFLASI DI LAMAN INI
BACA: Impak harga barang, miskin bandar terpaksa meminjam - Kajian
Selain itu setiap PPR perlu mengambil inisiatif mewujudkan bank makanan sendiri bagi memudahkan bantuan kepada masyarakat berbanding hanya bergantung kepada kerajaan.
Ini salah satu cadangan yang boleh dilakukan masyarakat untuk meningkatkan daya tahan pengurusan dan perbelanjaan isi rumah terutama ketika inflasi.
“Setengah orang mahukan barang pasar dan separuh yang inginkan barangan dalam bentuk tin, jadi bank makanan (foodbank) ini mesti diuruskan oleh masyarakat itu sendiri.
“Contohnya, kita kena tahu siapa yang betul-betul memerlukan susu untuk anak dan bank makanan ini akan merekodkan setiap pinjaman bantuan yang diberikan dengan jenis bantuan yang disalurkan kepada mereka agar bantuan yang dipinjam ketika waktu susah dapat diganti balik.
“Sistem bank makanan ini akan memeritahu kita siapa yang ambil bekalan ayam, sayur dan sebagainya,” katanya ketika ditemu bual di Niaga AWANI hari ini.
Usaha ini dikatakan lebih mudah untuk meyasarkan individu atau kumpulan mana yang lebih memerlukan bantuan dan apa jenis bantuan yang harus diterima.
* Perbincangan lanjut daripada Kajian Dalam Kelompok Berpendapatan B40 dan M40 ini hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro AWANI dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.