KUCHING: Kawasan Batu Kawa yang terletak kurang 10 kilometer (km) dari bandar raya ini berpotensi untuk dibangunkan seperti Bandar Sunway di Lembah Klang, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang giat menyelesaikan masalah kesesakan trafik, air dan elektrik di kawasan berkenaan bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh di Batu Kawa menjelang 2030.

"Kalau kita lihat kawasan ini (Batu Kawa) seperti pembangunan yang dilakukan di Bandar Sunway di Lembah Klang... kawasan itu dahulunya kuari batu dan dibangunkan menjadi bandar yang terletak jauh sikit dari Kuala Lumpur.

"Kita akan buat jalan dari Batu Kawa terus ke Jalan Matang dan kita juga sedang membina jambatan baharu (di Batu Kawa) untuk menyeberang Sungai Sarawak...kita ada infrasturuktur yang kita bangunkan untuk manfaat rakyat jelata," katanya ketika berucap merasmikan Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho, di sini, pada Isnin.

Dewan berkenaan merupakan inisiatif di bawah Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho Batu Kawa fasa pertama melibatkan keluasan 8.1 hektar.

Abang Johari berkata, pembukaan tanah bagi projek pembinaan jalan raya di kawasan berkenaan akan turut memberi peluang untuk pembangunan perumahan mampu milik khususnya bagi golongan B40 di negeri ini.

Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam ucapannya berkata, penambahan peruntukan berjumlah RM7 juta diperlukan bagi fasa kedua projek mengubah wajah kuari berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Batu Kawa berkata, taman rekreasi seluas 24.2 hektar dirancang dibina di kawasan DUN berkenaan di bawah fasa dua projek itu. - BERNAMA