PUTRAJAYA: Lima gabungan parti utama hari ini mencipta sejarah apabila menandatangani perjanjian persefahaman untuk membentuk Kerajaan Gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Menurut dokumen itu, ia ditandatangani oleh pimpinan kanan dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Parti Warisan.

Sementara itu, dua lagi parti politik, iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), serta calon-calon Bebas lain akan bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Berikut merupakan antara intipati persefahaman tersebut:

1. Parti-parti menzahirkan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, dan akan bersama-sama memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

2. Mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan, memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen, dan memantapkan sistem politik negara sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat.

3. Memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan, memastikan hak bukan Islam untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

4. Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, serta menjamin hak rakyat untuk mempelajari dan mengguna bahasa lain berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

5. Menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi awam, serta keberkesanan dan profesionalisme pasukan keselamatan.

6. Memperkuat dan mengupaya pemisahan kuasa antara cabang eksekutif, perundangan, dan kehakiman Kerajaan Persekutuan.

7. Menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dalam acuan Malaysia.

8. Mengukuhkan sistem pemerintahan Persekutuan yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negerinegeri dengan kekuasaan kerajaan Pusat.

9. Menjunjung semangat kerjasama, kesetiaan kepada persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara.

10. Mengamalkan ekonomi yang adil dan dinamik.

11. Memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat yang miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah.

12. Menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam yang bermutu sebagai tanggungjawab sosial pemerintah.

13. Memperjuangkan serta menjamin hak bekerja, upah yang adil dan setara dengan kelayakan dan pengalaman pekerja.

14. Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

15. Memperjuangkan hak dan pengembangan potensi belia dan remaja.

16. Meningkatkan mutu hidup Orang Asal, di samping menjaga warisan adat mereka.

17. Melindungi alam semula jadi daripada pemusnahan, perubahan iklim; mencegah perosakan.

18. Mengembangkan dasar dan hubungan luar yang berkecuali, bebas dan aktif.