PERANG perdagangan antara Amerika Syarikat dan China meletus lima tahun lalu apabila Huawei dimasukkan ke dalam Senarai Entiti yang menyebabkan kelengkapan 5G mereka diharamkan serta akses kepada GMS dihalang pada peranti Android keluaran mereka.

Perang teknologi akan menjadi semakin hangat kelak kerana Amerika Syarikat dilaporkan ingin mengharamkan pula penggunaan perisian China pada kenderaan swapandu digunakan di dalam negara.

Menurut laporan Reuters, sumber dari Jabatan Perdagangan akan mengharamkan perisian China pada kenderaan dengan kemampuan swapandu Tahap 3 dan ke atas.

Ini adalah kerana risiko ke atas keselamatan negara yang muncul sekiranya kenderaan swapandu China terus diberikan kebenaran digunakan di atas jalan raya Amerika.

Ini sekali gus akan mengharamkan ujian kenderaan swapandu China di Amerika.

Selain itu penggunaan kelengkapan telekomunikasi China juga akan diharamkan pada kenderaan swapandu.

Pengeluar kenderaan selepas ini perlu mengesahkan kenderaan yang dikeluarkan tidak mempunyai perisian daripada “entiti asing yang membimbangkan” sebelum dibenarkan beroperasi.

Sebelum ini dilaporkan beberapa syarikat swapandu China telah melakukan ujian sejauh 2.9 juta kilometer di atas jalan raya Amerika Syarikat.

Data kamera, laser dan kedalaman yang dikutip didakwa boleh digunakan bagi tujuan intipan dan inilah yang dimaksudkan sebagai risiko keselamatan negara.

Di China, Tesla baru sahaja diberikan kebenaran melakukan ujian swapandu selepas sekian lama dihalang.

Malahan muncul laporan kenderaan Tesla akan dihalang daripada memasuki kawasan bandar apabila Presiden Xi melakukan lawatan rasmi.

China dituduh paranoid tetapi kini paranoia keselamatan boleh dilihat di kedua-dua belah Lautan Pasifik. -Amanz