MELAKA:Individu di negeri ini yang pulang dari Sabah sebelum 11 Okt lepas, perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari, walaupun keputusan saringan pertama COVID-19 di pintu masuk antarabangsa (PMA) negatif.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Khas COVID-19, peringkat negeri pada Isnin.

"Sekiranya terdapat kes positif, pesakit akan terus diasingkan dan dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan segera, dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan mengesan serta menghubungi kontak rapat kes positif itu untuk ujian saringan, yang berhubung secara langsung dalam masa 14 hari.

"Ini termasuk juga individu yang berkaitan pekerjaan dalam perawatan kes disahkan COVID-19 tanpa memakai alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap, atau individu yang tinggal serumah dengan kes disahkan COVID-19," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting, seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif COVID-19 atau maklumat yang berkaitan daripada pihak berkuasa.

Tambahnya kerajaan negeri amat komited di dalam memperkukuhkan sistem kesihatan dan memastikan wabak COVID-19 ini dapat dikawal, bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA