Strategi pemasaran sebuah syarikat perniagaan menjual perkakasan membersih robotik di Malaysia telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat di negara jiran Indonesia.

Ini berikutan penemuan iklannya yang memperlekehkan tenaga kerja dari republik tersebut khususnya mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah.

Syarikat tersebut, melalui iklannya, memaparkan frasa yang menyarankan pengguna memecat pembantu rumah mereka yang berasal dari Indonesia dengan fungsi itu diambil alih produk robot pembersih rumah buatan mereka.

Fire your Indonesian maid’ (Pecat pembantu rumah Indenesia anda), kata frasa tersebut dengan penegasan bergaris pada perkataan ‘Indonesia’. Ia dilihat seolah-olah memberi gambaran bahawa produk tersebut lebih baik daripada tenaga kerja manusia.

Gambar iklan tersebut pada awalnya telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook milik seorang warga Indonesia, Okina Fitriani.

Pada gambar itu, Okina telah menulis status: ‘Ini iklan rasis, Saya sudah membuat laporan kepada Kemeterian Tenaga Kerja. Jika anda anti-rasis, jangan beli sebarang produk dari syarikat ini’.

Status tersebut telah dikongsi ramai pihak yang turut meninggalkan komen yang berbaur kemarahan tentang perkara tersebut.

Syarikat yang beribu pejabat di Petaling Jaya itu menjual pelbagai perkakasan membersih rumah seperti alat penyedut hampagas, pembersih lantai hinggalah robot yang membersihkan kolam renang.

Berita yang dikongsi Okina tersebut sudah tersebar dalam media Indonesia khususnya melalui media sosial di negara berkenaan.