PIHAK Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius dakwaan yang dilemparkan terhadap Radio IKIM (IKIMfm) yang muncul di platform media sosial. Ingin kami tegaskan bahawa pihak Pengurusan IKIM sentiasa menghormati perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian mazhab yang ada dalam Islam. Perkara ini telah ditekankan berulang kali oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam beberapa siri pertemuan dengan Pengurusan IKIM, dan juga menjadi dasar kerajaan yang mentadbir negara ini hari ini.

Penegasan sama turut disokong oleh ulama luar negara seperti TYT Sheikhul Al-Azhar dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini yang turut bertemu ilmuwan termasuk dari IKIM yang menyeru untuk sentiasa mengamalkan semangat menjaga keharmonian dan perpaduan antara sesama Islam.

Justeru itu, kandungan radio IKIMfm sentiasa dipastikan segar dengan kupasan ilmiah dan kupasan isu-isu terkini dan semasa dan bersama tetamu-tetamu yang pakar dalam bidang masing-masing. IKIMfm mempunyai lebih 40 program seminggu dalam pelbagai bentuk yang bersifat mendidik, dan menghibur para pendengar dari khalayak masyarakat yang pelbagai bidang dan taraf pendidikan.

Perlu disedari bahawa IKIMfm terikat dengan garis panduan, peraturan, dan akta-akta yang dikanunkan bagi menjaga kemurnian Islam dan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti mana Garis Panduan Hiburan JAKIM, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Akta Pengiklanan dan seumpamanya.

Dalam masa yang sama, IKIMfm juga perlu menghormati dasar negara ini yang berpegang teguh kepada manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai amalan negara ini dan mengelak daripada mengeluarkan pandangan yang menyalahi keputusan Muzakarah MKI dan fatwa negeri-negeri kerana IKIMfm boleh didengari di seluruh negara.

Sejak IKIMfm ditubuhkan pada 6 Julai 2001, Pengerusi pertama IKIM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah menggariskan beberapa dasar yang perlu dipatuhi agar IKIMfm menjadi radio yang dihormati dan disegani dan bukan menjadi ejen propaganda dan dakyah mana-mana pihak sesuai dengan peranan IKIM sebagai sebuah badan pemikir.

Antaranya tetamu radio IKIMfm yang diundang bersiaran hendaklah bermanhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah bagi menghormati amalan majoriti masyarakat di negara ini dan untuk tidak mengelirukan orang awam.

Seterusnya, IKIMfm juga menetapkan untuk menjaga sensitiviti 3R iaitu tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubungan dengan kedaulatan dan Kuasa Yang di-Pertuan Agong serta mana-mana Raja sebagai Ketua Agama Islam, agama dan kaum.

Sekian. Terima kasih.

Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia

21 September 2024

--BERNAMA