KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) diiktiraf sebagai antara hospital pakar terkemuka di rantau Asia Pasifik (APAC) apabila menduduki ranking ke-30 dalam senarai Hospital Pakar Terbaik APAC 2023 oleh Newsweek, baru-baru ini.

Kedudukan tersebut meletakkan pusat pakar jantung itu berada di hadapan daripada beratus hospital pakar lain di rantau ini sekali gus menjadi penyedia penjagaan kesihatan terbaik di negara ini.

Jabatan Komunikasi Korporat IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan senarai Hospital Pakar Terbaik APAC 2023 itu adalah perkongsian antara majalah Newsweek dari Amerika Syarikat dan firma penyelidikan pasaran global Statista R.

"Dalam edisi pertamanya, penarafan itu bertujuan untuk mengenal pasti hospital pakar terkemuka dalam enam bidang perubatan di sembilan negara APAC iaitu Australia, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, South Korea, Taiwan, dan Thailand.

"Penarafan ini berdasarkan tinjauan ke atas lebih 8,000 profesional perubatan termasuk doktor, jururawat dan ahli terapi, serta pihak pentadbir penjagaan kesihatan di negara APAC berkenaan," menurut kenyataan itu.

Menurut IJN tinjauan itu dijalankan secara dalam talian dari Feb hingga Mac lepas, dengan meminta peserta mengesyorkan hospital dalam bidang kepakaran serta perubatan sekunder mereka.

"Beberapa pensijilan Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) berkaitan bidang perubatan tertentu juga diambil kira sebagai sebahagian daripada analisis pemarkahan akhir," menurut IJN.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata pihaknya gembira dengan pengiktirafan berprestij itu dan diterima tepat pada masanya.

"Kami sedang melaksanakan pelan hala tujuan kami ke arah menjadi hospital pintar terulang untuk terus meningkatkan tahap penjagaan kesihatan jantung dan pesakit.

"Pelan pengembangan ini meliputi kemudahan bagi pelbagai disiplin baharu dengan 120 katil dan kemudahan utama lain, dan ia dijangka selesai pada 2026," katanya.

Ditubuhkan pada 1992, IJN membina reputasinya di peringkat global menerusi rawatan jantung yang inovatif dan ketika ini ia mempunyai 433 katil, lapan makmal jantung invasif, sembilan bilik pembedahan termasuk dewan bedah hibrid, 10 katil dialisis serta pusat kesejahteraan dan tidur khusus.

Mengamalkan pendekatan pencegahan dalam kesihatan, IJN juga mempunyai lebih 70 klinik perundingan dalam pelbagai kepakaran selain daripada kardiologi, termasuk klinik yang memenuhi keperluan pesakit diabetes, berhenti merokok, perkhidmatan respiratori serta penjagaan penyakit jantung pediatrik dan kongenital.

Selain itu, IJN baru-baru ini turut memperoleh pengiktirafan daripada pelbagai pertubuhan yang disegani termasuk Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Digital Terbaik di Anugerah PC.com ke-23 pada 22 Jun lepas kerana usahanya dalam merintis penggunaan teknologi termaju untuk meningkatkan tahap penjagaan pesakit.

Pusat itu turut mencipta kejayaan dalam pelbagai kategori di Anugerah Kesihatan Global Asia-Pasifik 2023 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada Mei lepas.

IJN merangkul lima anugerah membanggakan iaitu Penyedia Perkhidmatan Kardiologi Terbaik di Asia-Pasifik; Penyedia Perkhidmatan Diabetes Terbaik di Asia-Pasifik; Penyedia Perkhidmatan Penjagaan Kecemasan Terbaik di Asia-Pasifik; dan Hospital Paling Inovatif Terbaik di Asia-Pasifik.

Dr Aizai Azan berkata kesemua pencapaian luar biasa itu mencerminkan usaha bersama pasukan IJN, yang sentiasa bekerja keras mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.

"Kami tetap teguh dengan komitmen untuk terus berusaha menjadi lebih baik dalam apa jua yang kami lakukan, dan amat berbesar hati dengan semua sokongan yang kami terima selama ini," katanya.

-- BERNAMA