Berikut adalah Berita Pilihan Pengarang Astro AWANI yang menjadi tumpuan umum sepanjang minggu, dari Nov 14 hingga 20 November, 2016.

Antara yang paling mendapat tumpuan adalah keputusan UPSR, perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah.


ISNIN, Nov 14:

Kenaikan caj hospital kerajaan wajar - Dr Subramaniam


Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kenaikan caj rawatan hospital kerajaan sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam memberitahu kenaikan tersebut akan mula berkuat kuasa Januari tahun depan, bagaimanapun ketika ini kadarnya masih belum diputuskan lagi.

Tegas beliau, keputusan itu adalah wajar memandangkan kos operasi hospital yang semakin meningkat.



Donald Trump tidak ambil gaji $400,000

Jutawan Republikan Donald Trump berkata dalam satu wawancara pada Ahad, beliau akan melepaskan gaji $400,000 sebagai Presiden Amerika Syarikat.

"Saya tidak akan mengambil gaji itu. Saya tidak akan mengambilnya," katanya kepada rancangan '60 minutes' CBS, mengesahkan janji yang dibuat beliau dalam satu video kempen September lalu.

"Saya rasa, mengikut undang-undang, saya perlu ambil $1. Jadi, saya akan ambil $1 setahun," katanya kemudiannya.


SELASA, Nov 15:

'Darah diganti darah' - Jamal Yunos


Kurang 24 jam episod ‘hidung berdarah’ melibatkan Datuk Seri Jamal Md Yunos mencetuskan pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia ini mampu kelihatan tenang.

Riak wajahnya tidak menggambarkan beliau telah ‘ditumbuk’, ‘digasak’ mahupun 'tewas' dalam kekecohan di pusat beli-belah Ampang Point, Selangor pada Ahad lalu.


Ramai anak muda yang kaya sekarang, bukan saya seorang - Adam Rosly

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly menegaskan, banglo mewah yang dimilikinya di Jalan Pinang, Ampang, bukan berharga RM7 juta seperti yang didakwa banyak pihak termasuk Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus.

Tegas individu berusia 28 tahun itu, banglo berkenaan diperolehi melalui hasil bidaannya dengan pihak bank pada harga RM1juta.

"Rumah itu saya bida dalam bank dengan nilai RM1 juta bukannya RM7 juta. Bank jual rumah terbengkalai, reka bentuk rumah itu kekal sama. Bukan saya yang reka nak duduk rumah dalam Disneyland (taman tema)," katanya semasa ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

RABU, Nov 16:

Remaja hilang selepas ke sekolah masih belum ditemui


Selepas lebih 24 jam, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang sejak pagi semalam, masih belum ditemui.

Aliaa Syafiqah Nazar tidak dapat dikesan selepas kali terakhir dilihat di perkarangan sekolahnya di Kampung Sungai Tangkas, Bangi, kira-kira jam 7.50 pagi semalam.

Bapanya, Mohd Norjuahari Nazar Nazari, ketika dihubungi pagi ini berkata, mereka sekeluarga telah membuat laporan polis semalam dan siasatan sehingga kini masih berjalan.


KHAMIS, Nov 17:

UPSR 2016: 4,896 calon peroleh semua A








JUMAAT, Nov 18:

Polis serbu pejabat Bersih sehari sebelum Bersih 5


Polis hari ini telah melakukan satu serbuan di ibu pejabat Bersih yang terletak di Petaling Jaya sehari sebelum perhimpunan Bersih 5.

Situasi ini dikongsi oleh Sekretariat Bersih, Mandeep Singh Karpal menerusi satu perkongsian di Twitter.

“Bukit Aman di pejabat kami untuk merampas barang kami.


Bersih 5: Maria Chin, Mandeep Singh ditahan

Penahanan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan Ketua Sekretariat Mandeep Singh tidak akan melunturkan semangat peserta untuk menyertai Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara esok.

Maria ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan menjejaskan demokrasi berparlimen dan Mandeep di tahan di bawah Seksyen 147 atas cubaan merusuh dan Seksyen 511 kanun yang sama.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata tangkapan itu tidak akan merubah pendirian NGO tersebut malahan akan menguatkan lagi hasrat mereka untuk merealisasikan resolusi Bersih edisi kelima kali ini.


SABTU, Nov 19:

Bersih 5: Berlangsung aman tanpa drama


Tiada drama!

Ini predikat yang boleh menggambarkan himpunan Bersih 5 anjuran gabungan NGO dan kumpulan masyarakat sivil, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0.

Masuk edisi kelima, himpunan kali ini tidak banyak berbeza dengan penganjuran yang lalu.




AHAD, Nov 20:

Bersih 5, Baju Merah: 'Saya akan kenal pasti ahli UMNO yang terlibat' - Ku Nan


Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri akan meneliti semua rakaman perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah untuk mengenal pasti ahli UMNO yang terlibat dalam perhimpunan itu semalam.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau akan menyerahkan senarai nama mereka kepada lembaga disiplin parti dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan menyeluruh harus dilakukan dan ia memerlukan sedikit masa bagi mengesahkan pembabitan ahli berkenaan.


Masyarakat sudah bosan dengan kumpulan Bersih - PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau melihat masyarakat Malaysia sudah bosan dengan kumpulan Bersih atau merasakan tindak-tanduk perhimpunan yang dipromosikan kumpulan berkenaan tidak memberi faedah kepada negara.

Diminta mengulas perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada Sabtu, beliau berkata tindakan untuk menumbangkan kerajaan cara sedemikian adalah tidak sah dari segi perlembagaan dan undang-undang.