Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di Beluran, malam tadi.

Mayat Siti Jainah Ajak, 39, bersama dua anak perempuannya Siti Aznizah Hussin, sembilan tahun, dan Siti Azikah Hussin, tiga tahun, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi tingkat atas kedai itu, tempat keluarga itu tinggal, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jemishin Ujin.

Mereka terperangkap di rumah kedai itu yang dipasang dengan jeriji besi dan api yang bermula dari tingkat bawah merebak dengan cepat dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

Suami mangsa yang juga pemilik kedai itu, Hussin Ismail bersama seorang lagi anak mangsa, Mohd Aznizam, 11, tidak berada di rumah semasa kebakaran.

Jemishin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.01 malam dan menghantar sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.