KUALA LUMPUR:Tindakan Kerajaan Negeri Perak yang membenarkan aktiviti kuari di Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, akan menyebabkan kepupusan Hutan Bukit Pantai di negara ini.

Naib Pengerusi Persatuan Pembela Alam Semulajadi dan Samudera (NOAS), Ibrahim Ngah Ahmad berkata, ini kerana, hutan tersebut merupakan yang terbesar dan mempunyai kepelbagaian khazanah termasuk hutan bukit, hutan pantai dan hutan bakau.

"Dalam negara ini, Hutan Simpan Segari Melintang merupakan hutan pantai terbesar yang ada di Semenanjung selain Pulau Pinang dan Pulau Pangkor.

"Sepatutnya, kerajaan negeri mengangkat khazanah alam semula jadi ini sebagai tempat yang boleh dibangunkan seperti kawasan eko pelancongan dan bukan memusnahkannya.


Pemaju didakwa gagal mematuhi standard EIA apabila mereka melanggar lokasi yang menjadi tanah rizab sungai. - Gambar Sinar Harian.


"Ini kerana, keistimewaan kawasan ini selain kaya dengan pelbagai flora dan fauna, ia juga merupakan salah satu lokasi pendaratan penyu," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Beliau diminta mengulas berhubung kemusnahan alam sekitar di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari, Perak yang didakwa berpunca daripada projek kuari membabitkan sebahagian kompartmen 16 yang diluluskan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya memelihara khazanah alam tersebut daripada diancam kepupusan, untuk generasi akan datang.

"Tempat sebegitu perlu dijadikan taman negara yang patut dipelihara.

"Ini kerana, jika kita memelihara kawasan itu, sudah pasti ia boleh dijadikan tempat rujukan atau makmal semula jadi kepada banyak pihak khususnya pelajar untuk membuat kajian eko sistem dan alam semula jadi.

"Kalau kita tengok negara-negara luar seperti Indonesia dan Thailand, mereka benar-benar memelihara khazanah alam untuk tujuan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menyifatkan, kegagalan pemaju dalam mematuhi syarat-syarat kelulusan dan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) antara punca berlakunya kemusnahan sedemikian.

Tegas beliau, pihak berkuasa digesa agar mengambil tindakan tegas terhadap pemaju termasuk menghentikan sementara kerja-kerja tapak bina sehingga proses pemulihan alam selesai.

"Sepatutnya, agensi teknikal berkenaan terutamanya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Perhutanan Negeri Perak mengambil tindakan sewajarnya.

"Ini kerana, ia jelas menunjukkan pemaju gagal mematuhi standard EIA apabila mereka melanggar lokasi yang menjadi tanah rizab sungai.

"Sehubungan itu, tindakan menghentikan tugas di tapak bina perlu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemulihan alam sekitar dilakukan agar kemusnahan itu dapat dikawal dan dipulihkan semula," katanya.

Siri akhir laporan ini kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu, di Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak akan disiarkan esok dengan mengambil maklum balas daripada pihak berwajib khususnya Kerajaan Negeri Perak.