Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menegaskan setiap ahli parti itu perlu bercita-cita memastikan Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.

Husam berkata perkara tersebut perlu menjadi keutamaan ahli PAS jika mahu parti itu menguasai Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

"Menjadi cita-cita sejak menyertai PAS, saya nak tengok Abdul Hadi Awang jadi Perdana Menteri sebelum dia mati, walaupun cuma satu hari," katanya ketika menyampaikan ucapan pergulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, di sini, hari ini.

Katanya ungkapan-ungkapan negatif yang boleh melemahkan parti sepatutnya tidak dikeluarkan oleh pemimpin dan ahli PAS disemua peringkat.

"Kata-kata yang berbunyi PAS akan tinggalkan Islam di pagar Putrajaya jika memerintah negara tidak sepatutnya diucapkan.

"Kita sepatutnya susun dan lumatkan strategi untuk memastikan kemenangan diperolehi," katanya.

Dalam ucapannya juga Husam menafikan dakwaan bahawa PAS menjadi boneka dalam Pakatan Rakyat.

Pada Sabtu, perwakilan Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dalam perbahasan ucapan dasar presiden menyatakan kebimbangan jika PAS meninggalkan perjuangan dakwah Islamiah jika menguasai Putrajaya satu hari nanti.