IPOH: Beberapa daerah di sekitar Perak dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang Khamis.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perak memaklumkan banjir kilat itu turut menyebabkan beberapa buah rumah terjejas teruk dan dinaiki air.

Katanya, antara kawasan yang terjejas ialah di daerah Kinta membabitkan Taman Cempaka Sari dan di Muallim iaitu Kampung Baru Slim Village.

"Hujan lebat berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air longkang dan sungai dipenuhi air sehingga melimpah keluar ke kawasan perumahan dekat Taman Cempaka Sari.

"Pihak APM terima maklumat pada jam 6.29 petang berhubung kejadian itu, terdapat beberapa buah rumah yang terjejas teruk.

"Antara rumah yang terjejas di Persiaran Cempaka Sari meliputi Lorong 7,9 dan 11 manakala Persiaran Cempaka Sari 28 meliputi nombor 1 hingga 35," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Sementara itu, ujarnya, di Muallim pula, sebanyak 10 buah rumah telah dinaiki air.

"Kawasan kediaman dipenuhi air disebabkan hujan berterusan melebihi tiga jam.

"Keadaan air naik hingga ke paras lutut di Kampung Baru Slim Village dan empat daripada rumah tersebut memerlukan pam air," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Selain itu, katanya, APM akan melakukan pemantauan berkala di kawasan tersebut sehingga air surut sepenuhnya.