BANGKOK: Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata beliau menjangkakan dasar dan hubungan menyeluruh antara Malaysia dan Thailand akan terus berlanjutan di bawah Perdana Menteri Thailand yang baharu, Paetongtarn Shinawatra.

Beliau berkata ini termasuk pelaksanaan projek pembangunan bersama seperti projek kesalinghubungan sosioekonomi di Selatan Thailand.

Menurut beliau perubahan politik, seperti yang berlaku di Thailand, adalah perkara biasa dalam mana-mana demokrasi yang berfungsi, beliau berharap perdana menteri baharu dan Kabinetnya "akan melihat keseluruhan hubungan dua hala dengan Malaysia".

"Saya fikir kebanyakan dan semua daripada mereka pasti akan mencari cara untuk meningkatkan hubungan dua hala," katanya kepada Bernama.

Beliau turut mengimbau pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Srettha Thavisin di Kelantan dan Narathiwat, beberapa minggu lepas.

"Mereka telah memberi jaminan bahawa dasar akan kekal sama. Projek dan aktiviti akan diteruskan. Mari kita berharap hubungan baik antara kedua-dua negara akan berterusan," kata Jojie.

Untuk rekod, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN dengan jumlah perdagangan Malaysia dengan Thailand berjumlah US$24.88 bilion (RM113.37 bilion) pada 2023.

Pada Jumaat, Paetongtarn, pemimpin Parti Pheu Thai, berjaya dipilih sebagai Perdana Menteri baharu selepas memperoleh 319 daripada 500 undi dalam pemilihan Parlimen.

Paetongtarn, anak bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra menggantikan Srettha Thavisin, yang dilucutkan jawatan perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 14 Ogos atas pelanggaran melantik menteri Kabinet yang mempunyai rekod jenayah pada April tahun ini.

Wanita berusia 37 tahun yang masih baru dalam politik ini adalah perdana menteri termuda dalam sejarah Thailand dan wanita kedua yang memimpin kerajaan selepas ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra.

-- BERNAMA