Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin berkata, mengambil contoh Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama (KPPB), ia dilihat berperanan penting untuk membantu pengurusan meningkatkan kebajikan dan keperluan lebih 1,000 tenaga kerjanya.
"Saya harap hubungan baik ini (ahli kesatuan dan pengurusan) dapat diteruskan yang mana bagi jangka panjang akan turut menguntungkan Bernama malah ahli kesatuan sendiri banyak bantu pihak pengurusan.
"Jadi kita perlu saling mengenali, masing-masing boleh beri pandangan dan idea yang boleh kita laksanakan pada masa hadapan sekali gus memastikan Bernama menjadi agensi media terbaik dalam negara," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga dan Majlis Makan Malam KPPB, di sini, malam ini.
Beliau berkata, pengurusan Bernama sentiasa menyokong dan menggalakkan aktiviti berpersatuan dalam kalangan kakitangannya selain menghargai peranan yang dimainkan mereka bagi memastikan segala program diadakan Bernama dapat dilaksanakan dengan baik.
"Pada 27 hingga 29 Mei ini kita akan adakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), ia program besar yang diamanahkan kepada kita di peringkat nasional, jadi sudah pasti kita mengharapkan petugas Bernama kekal menjadi terbaik untuk anjurkan program berikutnya," katanya.
KPPB ditubuhkan pada Sept 1974 dan setakat ini lebih 300 kakitangan menyertainya. - BERNAMA