KUALA LUMPUR: Masa depan hubungan Bahrain-Malaysia kelihatan sangat menjanjikan, terutamanya apabila kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka tahun ini.

Kedua-dua negara secara rasmi menjalin hubungan diplomatik pada 25 November 1974.

Hubungan itu dipertingkatkan lagi dengan lawatan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa ke Malaysia pada Julai lepas, selepas menerima undangan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menghadiri istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

"Lawatan penting ini, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, menyediakan peluang unik bukan sahaja untuk merenung kejayaan bersama tetapi juga untuk melakar hala tuju ke arah masa depan yang lebih makmur," kata Duta Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Al Manea kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Duta yang baru dilantik itu berkata kedua-dua negara sedang menggerakkan usaha untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk memperkukuh hubungan diplomatik, meluaskan peluang perdagangan dan pelaburan, mempromosikan program pertukaran pelajar, meneroka kerjasama dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta memupuk hubungan budaya yang lebih kukuh.

"Berdasarkan asas yang kukuh ini, kami yakin hubungan Bahrain-Malaysia akan terus berkembang, membawa manfaat bersama kepada rakyat kita dan menyumbang kepada kemakmuran serta kestabilan di rantau kita," katanya.

Menurut Al Manea, kedutaan Bahrain giat mempromosikan peluang pelaburan yang menguntungkan di Bahrain kepada pelabur Malaysia, sebagai tanda komitmen berterusan untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau berkata pelaburan Malaysia telah menyumbang dengan ketara kepada pembangunan infrastruktur Bahrain, dengan syarikat Malaysia memainkan peranan penting dalam projek utama seperti Litar Antarabangsa Bahrain, 'Bahrain City Centre Mall', dan pembesaran 'Sitra Causeway' serta Pelabuhan Khalifa Bin Salman.

"Hubungan perdagangan kita berkembang pesat. Pada 2023, perdagangan bukan minyak antara kedua-dua negara mencecah US$263 juta.

"Jumlah import Bahrain dari Malaysia berjumlah US$73 juta, manakala jumlah eksport mencecah US$190 juta. Kami menyasarkan untuk meningkatkan lagi angka ini pada 2024.

"Hubungan komersial kami merangkumi pelbagai sektor, termasuk Kewangan Islam, fintech (teknologi kewangan), pembuatan, pengangkutan, logistik, pelancongan, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), dan sektor utama lain," katanya.

Al Manea berkata usaha niaga itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi kedua-dua negara tetapi juga menjana peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada rakyat Bahrain dan Malaysia.

Menggambarkan hubungan diplomatik selama 50 tahun, Al Manea berkata Bahrain berharap untuk menganjurkan satu siri acara kerjasama merentasi bidang politik, ekonomi, dan budaya bagi memperingati ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Selain itu, kami berhasrat untuk memudahkan delegasi perdagangan bersama dalam tahun ini bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi dan meneroka peluang perkongsian baharu," katanya.

Al Manea berkata kedutaan Bahrain berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Bahrain dan Malaysia melalui pelbagai saluran.

Beliau berkata berdasarkan kejayaan lawatan peringkat tinggi dan perjanjian sedia ada, tumpuan bukan sahaja pada perdagangan tetapi juga merangkumi pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.

"Inisiatif yang memupuk pelancongan, pertukaran pendidikan, dan pemahaman budaya telah banyak menyumbang kepada usaha ini.

"Sebagai contoh, Malaysia ialah destinasi pelancongan yang popular bagi pengembara Bahrain yang tertarik dengan warisan budaya negara yang kaya dan layanan mesra.

"Begitu juga, pelajar Bahrain yang melanjutkan pelajaran di Malaysia telah memupuk penghargaan mereka terhadap budaya dan tradisi Malaysia sambil menyumbang kepada landskap akademik kedua-dua negara."

Beliau berkata komuniti Bahrain yang menetap di Malaysia berperanan sebagai jambatan budaya, menggalakkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.

Al Manea telah menyampaikan watikah pelantikannya kepada Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 9 Julai 2024.

-- BERNAMA