Hospital Petra Jaya sudah 80 peratus siap - Dr Dzulkefly
Hospital yang pernah dikategorikan sebagai 'projek sakit' itu dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan.
Bernama
Sat Nov 16 2024
Dr Dzulkefly berkata, hospital yang pernah dikategorikan sebagai 'projek sakit' itu dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan. - Gambar fail
KUCHING: Projek pembinaan Hospital Petra Jaya di sini mencapai kemajuan 80 peratus setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata hospital yang pernah dikategorikan sebagai 'projek sakit' itu dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan.
"Kali ini kami berada di landasan betul, kita sedia maklum yang projek ini sudah tertangguh selama beberapa tahun tetapi kali ini telah mencapai 80 peratus siap.
"Kita (Kementerian Kesihatan) akan pastikan kontraktor dapat siapkan dan tidak ada lagi penangguhan selepas ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat 2024 (ANMS) di sini hari ini.
Projek Hospital Petra Jaya yang bermula 2013 dijadualkan siap pada November 2016 namun tertangguh berikutan kelewatan pembinaan.