PARIT BUNTAR: Masalah kekurangan pekerja, kestabilan tanah dan pandemik menjadi punca kelewatan projek pembinaan Hospital Parit Buntar yang sepatutnya siap pada Disember 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata bagaimanapun, pembinaan itu kini mencapai 64 peratus dan dijangka siap pada 17 Mei 2023.

"Kontraktor sedang bertungkus lumus menyiapkannya sekarang sehingga waktu malam membabitkan lebih 150 pekerja malah mereka juga memberikan jaminan untuk menyiapkan projek bangunan empat tingkat itu mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek pembinaan hospital itu semalam.

Projek Hospital Parit Buntar bernilai RM136 juta itu dimulakan pada Jun 2018.

-- BERNAMA