JAKARTA: Hospital Indonesia di Beit Lahia, yang terletak di utara Semenanjung Gaza, menyambung semula operasi terhad pada 1 Jun di sebalik kerosakan teruk dan kehilangan peralatan, beberapa bulan selepas diserang oleh tentera Israel.


Ringkasan AI
  • Hospital Indonesia di Beit Lahia, Gaza, kembali beroperasi secara terhad pada 1 Jun walaupun mengalami kerosakan teruk dan kehilangan peralatan akibat serangan tentera Israel beberapa bulan lalu.
  • MER-C melaporkan kerosakan teruk pada peralatan radiologi seperti mesin imbasan CT dan sinar-X serta pemasangan mekanikal elektrik di tingkat satu dan dua hospital tersebut.
  • Walaupun bilik pembedahan dan unit rawatan rapi berfungsi, hospital menghadapi kekurangan fungsi makmal dan generator besar, dengan hanya generator kecil digunakan secara bergilir-gilir untuk operasi asas.


Menurut MER-C, sebuah organisasi kemanusiaan Indonesia yang pakar dalam tindak balas kecemasan perubatan, peralatan dan pemasangan mekanikal elektrik di tingkat satu dan dua hospital itu yang mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera Israel.

"Peralatan radiologi seperti mesin imbasan CT dan sinar-X di Hospital Indonesia turut dirosakkan oleh tentera Israel," lapor Edy Wahyudi, seorang sukarelawan MER-C di Gaza.

Pada masa ini, bilik yang beroperasi termasuk bilik pendaftaran, bilik rekod perubatan, bilik kecemasan, bilik pembedahan, unit rawatan rapi dan wad dengan kapasiti 140 katil.

Walau bagaimanapun, fungsi makmal masih terhad, banyak peralatannya termasuk bank darah mengalami kerosakan.

"Semua generator besar, dengan kapasiti 400 dan 500 kilo-volt-ampere (KVA), telah musnah akibat dibom dan generator 600 KVA telah dipindahkan sementara dari hospital," katanya.

Edy berkata panel solar hospital di atas bumbung rosak akibat tembakan artileri, menyebabkan hanya generator berkapasiti kecil yang boleh digunakan secara bergilir-gilir untuk empat bilik pembedahan hospital.

Pembinaan Hospital Indonesia bermula pada 2011 di atas tanah yang didermakan oleh pihak berkuasa di Gaza, dibiayai oleh sumbangan daripada rakyat Indonesia melalui MER-C.

Sukarelawan Indonesia secara berkala membantu hospital yang diuruskan oleh pihak berkuasa Palestin di Gaza.

Dalam keadaan yang mencabar ini, pengerusi MER-C Dr Sarbini Abdul Murad menyeru sokongan rakyat dan kerajaan Indonesia untuk segera menghantar jurutera dan kakitangan teknikal.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan pengubahsuaian besar-besaran selepas gencatan senjata kekal, keupayaan hospital itu dapat dioptimumkan sepenuhnya untuk memberikan penjagaan terbaik kepada penduduk Gaza, khususnya di wilayah utara.

-- BERNAMA