Israel "menuntut pemindahan pesakit dan kakitangan kesihatan dari Hospital Kamal Adwan, Hospital Indonesia dan Hospital Al-Awda," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tentera mengancam hospital berkenaan dengan "kemusnahan, pembunuhan, dan penahanan" jika ia tidak dikosongkan, sama seperti yang berlaku di Hospital Shifa di Bandaraya Gaza yang telah dikepung selama berminggu-minggu sejak November lepas.
Kementerian itu memberi amaran bahawa Hospital Kamal Adwan mungkin akan berhenti beroperasi dalam beberapa jam kerana kekurangan bahan api.
Pegawai kesihatan Gaza merayu agar "perlindungan serius diberikan kepada institusi kesihatan dan kakitangannya, terutamanya di utara Semenanjung Gaza."
Pengarah Hospital Kamal Adwan Hossam Abu Safia dalam rakaman audio yang dihantar kepada wartawan berkata: "Tentera Israel telah memberi mereka tempoh 24 jam untuk mengosongkan sepenuhnya hospital daripada pesakit dan kakitangan kesihatan."
"Tentera berhubung secara langsung dan mengancam kami, mengatakan kami mesti mengosongkan hospital atau kami akan meletakkan diri dalam bahaya," katanya.
Abu Safia menyifatkan tindakan Israel itu sebagai berbahaya yang mengancam "sistem penjagaan kesihatan di utara Semenanjung Gaza lumpuh" dan melahirkan kebimbangan tentang rancangan baharu untuk memindahkan penduduk utara Gaza dengan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA