Bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan laporan sebuah portal kononnya kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) meminta bantuannya untuk memulihkan semula hubungan Malaysia dengan Arab Saudi.

"Tiada pun. Laporan itu memang tidak tepat. Setahu saya hubungan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Putrajaya dengan semua negara-negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi adalah baik," katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp hari ini.

Sebuah portal yang memetik sumber melaporkan, hubungan itu terjejas kerana beberapa tindakan kerajaan PH membatalkan keputusan pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan hubungan Kuala Lumpur dengan Riyadh.

BACA: Kementerian Luar nafi Hishammuddin bantu pulih hubungan diplomatik dengan Arab Saudi

Antara tindakan berkenaan adalah pemberhentian operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pejabat sementara di Jalan Ampang serta-merta yang mana fungsi KSCIP itu akan diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

Hishammuddin berkata beliau tidak melihat hubungan Kuala Lumpur-Riyadh mempunyai masalah seperti dilaporkan portal terbabit.

"Saya tengok biasa sahaja. Cuma need a bit of time untuk kerajaan baharu settle down dengan negara-negara berkenaan. Insya Allah it should be okay. Yang penting apa jua hubungan mesti memanfaatkan negara dan rakyat kita," kata Anggota Parlimen Sembrong itu.

-- BERNAMA