Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) demi mengekal landskap keselamatan Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tanggungjawabnya kini fokus kepada semua sepuluh daerah di bawah Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

``Kita janji kepada rakyat Sabah, ESSCOM dan ESSZONE dengan kerjasama serta kekuatan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

``Saya dan Datuk Zahid sendiri sudah faham landskap keselamatan di sana,'' katanya kepada media selepas majlis sambutan Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan di bangunan kementerian.

Beliau yang kini bertukar portfolio sebagai Menteri Pertahanan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil jawatannya sebelum ini turut melahirkan keyakinan transisi akan berjalan lancar dan baik kerana kerjasama di antara kedua-dua kementerian akan diteruskan di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS).

Selain itu Hishammuddin meminta masyarakat memberi sokongan dan kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan dunia tanpa sempadan.

``Keselamatan tetap jadi teras utama kementerian. Dalam dunia tanpa sempadan kini kita perlu mengharunginya dengan baik dan memahami ancaman selain menanganinya segera.

``Kita perlu sokongan masyarakat,suntikan keperluan kepada tentera dan sokongan tidak berbelah bagi dari pucuk pimpinan serta semua,'' jelasnya.

Pembentukan ESSCOM diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas bagi membanteras kumpulan pengganas dari selatan filipina.

ESSCOM meliputi lima daerah iaitu Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

ESSZONE pula merangkumi 10 daerah termasuk lima daerah ESSCOM serta Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan dan Semporna.