KUALA TERENGGANU: Tiga anggota polis yang direman sejak Selasa lepas bagi membantu siasatan berhubung kehilangan barang kes di stor penyimpanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan, berkata kesemua anggota yang berumur antara 26 hingga 32 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan berkaitan kehilangan komponen enjin motosikal Yamaha RXZ.

"Sebelum ini, kami mendapati terdapat kehilangan komponen enjin motosikal RXZ di stor barang kes dan penahanan dibuat ke atas mereka bagi membantu siasatan. Dua daripada mereka dipercayai pemilik dan peminat tegar motosikal jenis Yamaha RXZ.

"Hari ini, dua daripadanya telah dibawa ke Mahkamah Kemaman untuk permohonan sambung reman, namun permohonan itu ditolak atas alasan mereka masih anggota polis yang boleh dipanggil pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Hanyan berkata pihaknya akan segera menyiapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA