Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin mengambil keputusan untuk terus mengadakan sidang media untuk mempertahankan dasar tanggungjawabnya kepada Parlimen.

"Sebagai ahli PAC, kami mempunyai tanggungjawab terhadap Parlimen dan Parlimen bertanggungjawab kepada rakyat.

"Jadi sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menerangkan kepada rakyat dari semasa ke semasa mengenai perjalanan PAC," kata Hasan.

Hasan sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAC tidak akan lagi mengadakan sidang media di Parlimen ekoran kenyataan selorohnya didakwa telah diputar-belit oleh segelintir pengamal media.

Beliau memaklumkan rasa dukacitanya kerana usaha mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media tidak dihargai beberapa petugas media.