Laman media sosial hari ini sibuk memperkatakan tentang kenaikan harga rokok yang didakwa berkuat kuasa tengah malam ini.

Dakwaan ini bermula ekoran tersebarnya pekeliling daripada Commercial Marketers and Distributors Sdn Bhd yang menyebut bahawa harga rokok akan dinaikkan susulan kenaikan duti eksais oleh kerajaan pada 1 November 2014.

Antara jenama rokok yang tersenarai ialah Dunhill, Kent, Benson & Hedges, Lucky Strikes, Pall Mall, Rothmans dan Peter Stuyvesant.

rokok
Pengumuman kenaikan harga rokok melibatkan beberapa jenama yang tersebar di media sosial. -Sumber internet

Astro AWANI cuba menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk pengesahan, namun maklum balas yang diterima melalui laman Facebook menterinya Datuk Seri Hasan Malek, hanyalah: “Berdasarkan statement ini (sebelum ini pun, apabila harga rokok naik, statement seperti ini akan dikeluarkan.”

Dalam pada itu, Astro AWANI telah membuat tinjauan rambang di beberapa premis menjual rokok di sekitar bandar, termasuk di 7-Eleven, yang mengesahkan harga rokok akan dinaikkan mulai Rabu.