Beliau berkata penubuhan koperasi kariah masjid masih rendah ekoran beberapa kekangan antaranya terletak di bawah bidang kuasa berbeza di setiap negeri seperti majlis agama Islam atau adat istiadat masing-masing.
"Keadaan ini menyebabkan penerimaan setiap agensi itu berbeza kerana mereka tidak mempunyai peraturan atau prosedur yang sama sekali gus menyebabkan inisiatif menubuhkan koperasi kariah masjid di setiap negeri sukar dilakukan secara menyeluruh.
"Bagaimanapun, SKM akan memudah cara dan membantu institusi masjid yang belum menubuhkan koperasi kariah terutama daripada aspek proses pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka 2024 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Rusli berkata di Melaka, sebanyak 60 daripada 189 masjid telah menubuhkan koperasi kariah dan negeri itu antara yang aktif menggerakkan usaha penubuhan organisasi berkenaan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Beliau berkata masjid yang telah menubuhkan koperasi kariah dan mempunyai potensi akan ditawarkan pembiayaan atau bantuan dalam bentuk prasarana serta modal pusingan untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Inisiatif itu, katanya ditawarkan kepada koperasi kariah masjid dalam usaha mewujudkan lebih banyak rangkaian pemborong dan peruncit di bawah institusi tersebut sekali gus mampu menjadi pusat pengedaran, subpengedaran atau outlet.
"Situasi ini memudahkan kariah masjid mendapatkan barangan keperluan asas terutama produk halal yang dikeluarkan oleh koperasi kariah selain harga yang ditawarkan lebih mudah," katanya sambil menambah SKM akan melihat semula indeks prestasi utama pembangunan koperasi kariah di Malaysia dalam usaha memastikan lebih banyak masjid dapat dibantu untuk menubuhkan koperasi.
Rusli juga berkata SKM akan mengadakan beberapa program berskala besar di Melaka antaranya Malam Penghargaan Rakan Koperasi 2024 yang dijadualkan pada awal September ini.
"Konvensyen Koperasi Masjid Peringkat Kebangsaan juga akan dilaksana pada bulan Oktober atau November dan kita bercadang menganjurkan Hari Koperasi Negara Peringkat Kebangsaan 2025.
"Kita memilih Melaka sebagai tuan rumah penganjuran program berskala besar ini kerana ia adalah negeri pelancongan dan mampu menarik kedatangan ramai pengunjung termasuk dari luar Melaka," katanya.
-- BERNAMA