KUCHING: Koperasi di Sarawak menerima Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan bantuan pembangunan koperasi berjumlah RM4.48 juta pada tahun ini.


Ringkasan AI
  • Koperasi di Sarawak menerima RM4.48 juta bantuan pembiayaan dan pembangunan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk tahun ini.
  • Sebanyak 17 koperasi menerima kelulusan pembiayaan SKM untuk meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan mereka.
  • Sebanyak 1,190 koperasi di Sarawak dengan lebih 313,000 ahli meraih perolehan RM368.97 juta setakat Disember 2023, dengan lima koperasi tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia.


Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sebanyak 17 koperasi menerima kelulusan melalui SKM untuk menerima pembiayaan dan bantuan terbabit.

"Melalui bantuan-bantuan ini, kita yakin koperasi di Sarawak akan dapat meningkatkan kapasiti dan kemampuan dari segi pengurusan koperasi.

"Ini seterusnya membolehkan mereka meningkatkan mutu, capaian produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran global," katanya ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak di sini, semalam.

Awang Tengah berkata sebanyak 1,190 koperasi telah diwujudkan di Sarawak yang dianggotai lebih 313,000 ahli dan meraih perolehan berjumlah RM368.97 juta setakat Disember 2023.

"Pada tahun ini, lima koperasi di Sarawak telah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia dengan meraih perolehan sebanyak RM93.5 juta," katanya.

Beliau juga berharap agar gerakan koperasi di Sarawak terus diperkasa melalui kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri dan seterusnya dapat berkembang selain memberi impak besar dalam pembangunan sosioekonomi tempatan.

Koperasi di negeri itu juga berperanan dalam pembangunan usahawan tempatan dengan memberi sokongan dari segi kewangan, latihan dan pembangunan kemahiran.

"Satu platform pemantauan, promosi dan penyertaan bagi program usahawan di Sarawak iaitu pangkalan data usahawan Sarawak akan diwujudkan pada 2025 untuk memastikan penyampaian program dan bantuan pembangunan usahawan kepada golongan sasaran," katanya.

-- BERNAMA