KUALA LUMPUR: Hanya 1.26 peratus atau 3,106 daripada 245,932 petugas kesihatan yang sudah menerima vaksinasi penuh dijangkiti COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Merujuk data terbaharu ujian berkala Kementerian Kesihatan (KKM) dalam ciapan di Twitternya malam ini, beliau berkata, daripada jumlah yang dijangkiti itu pula, hanya 0.2 peratus atau enam orang dijangkiti COVID-19 kategori tiga dan empat.

Kategori tiga bermakna pesakit mengalami radang paru-paru dan tahap empat (memerlukan oksigen).

Selebihnya, seramai 1,012 atau 32.6 peratus dijangkiti COVID-19 kategori satu yang tiada gejala dan 2,088 (67.2 peratus) (kategori dua, gejala ringan).

Menurutnya, tiada antara mereka yang dijangkiti COVID-19 kategori lima (rawatan ICU).

Hanya 1.26 peratus daripada 245,932 petugas kesihatan yang sudah menerima vaksinasi penuh dijangkiti COVID-19.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengakui jangkitan masih boleh berlaku walaupun selepas menerima dua suntikan vaksin.

Bagaimanapun, tegasnya impak virus itu kurang serius yang bermakna bilangan pesakit yang perlu dirawat di hospital berkurangan, selain boleh mengelakkan kematian.

"Tidak lama dahulu ramai yang tidak senang dengan tweet saya ketika saya menyebutkan jumlah pekerja kesihatan (HCW) yang dijangkiti setelah vaksinasi penuh.

"Ya, anda masih boleh dijangkiti selepas vaksinasi penuh tetapi kurang teruk, lebih sedikit yang ditahan ke hospital dan kurang kematian," katanya.


Justeru, beliau mengulangi ketegasan supaya orang ramai terus mempercayai vaksin dan data yang dikeluarkan KKM demi keselamatan semua.

"Percayakan vaksin. Pecayakan data. Vaksin menyelamatkan nyawa dan selepas  diberi vaksin sepenuhnya kita dapat hidup berdampingan dengan COVID-19," katanya lagi.