MADINAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menjaga nama baik negara pada setiap masa dan patuh kepada undang-undang Arab Saudi bagi mengelakkan sebarang masalah.

Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif, memberi peringatan itu kepada semua bakal tetamu Allah dan rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan haji, susulan peraturan baharu musim haji tahun ini.

"Peraturan baharu itu adalah terpakai untuk semua, termasuk mereka yang menaiki kereta atau basikal untuk memasuki Arab Saudi dan mengerjakan haji," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama 282 jemaah haji Malaysia di hotel penginapan Emaar Royal, di sini, pagi Khamis.

BACA: Juruterbang pilih jalan darat ke Tanah Suci Mekah

BACA: Tiga rakyat Malaysia kayuh basikal tiba di Madinah 

Roslan berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi beberapa ceramah dan kursus sentiasa menekankan kepada jemaah untuk menjaga imej negara serta patuhi peraturan yang dikenakan.

"Dalam konteks TH, itu adalah apa yang kita harapkan, memandangkan jika bergerak, mereka juga dinasihat untuk pergi secara berjemaah.

"Dan jika bersendirian, elakkan daripada memasuki kawasan larangan sebagaimana ditetapkan Arab Saudi. Peringatan ini sentiasa diberikan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau mengingatkan bakal jemaah haji rakyat Malaysia supaya mengikut saluran yang betul dan memohon permit yang sah untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

Jika tidak, katanya, mereka akan dikenakan bayaran penalti sehingga 10,000 Riyal (SAR10,000) dan lebih buruk, diusir keluar daripada Arab Saudi.

Menurut Roslan, tindakan penalti dan pengusiran itu adalah selaras dengan peraturan baharu yang diperkenalkan iaitu penguatkuasaan penalti SAR10,000 bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji.

Ia termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji di negara itu.

Tujuh kawasan terbabit ialah Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, Stesen Keretapi Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Penalti akan berkuat kuasa dari 2 hingga 20 Jun 2024.

Kementerian itu memaklumkan, SAR10,000 akan dikenakan ke atas semua individu termasuk warganegara, pemastautin serta pengunjung yang ditangkap di dalam kawasan tersebut tanpa permit haji.

Selain itu, individu bukan warganegara yang ditangkap akan diusir ke negara asal dan dilarang memasuki Arab Saudi untuk tempoh yang termaktub dalam undang-undang. 

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang akan mula digunakan pada musim haji tahun ini.

Pelancaran kad itu adalah siri terbaru dalam pembaharuan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Kad jemaah haji Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah haji serta mengurangkan kadar individu mengerjakan haji secara haram.