Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan 46 Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas) dan tiga pakar rujuk di Tanah Suci bagi membantu jemaah haji Malaysia yang memerlukan panduan mengenai ibadah haji serta menyelesaikan kemusykilan yang timbul berhubung ibadah itu.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji 1438 Hijrah Tengku Aziz Raja Abdullah berkata kefahaman jemaah terhadap ibadah haji adalah penting agar mereka dapat melaksanakan Rukun Islam kelima itu dengan sempurna.

"Bahagian Bimbingan Haji ini sangat penting dalam memberi penjelasan agar mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di sini.

Beliau berkata 46 Pihtas itu terdiri daripada kombinasi 60 peratus petugas lama dan bakinya adalah petugas baru.

Tiga pakar rujuk pula terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz, bekas Mufti Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Mohd Noh Gadut dan bekas pensyarah fiqah Universiti Malaya Dr Hanisah Abdul Ghani.

"Kita bimbang jika ada permasalahan yang rumit untuk diselesaikan oleh pembimbing ibadah, maka tiga pakar rujuk ini akan bersidang dan menyelesaikannya dengan segera," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Aziz berkata TH juga menggerakkan Talian Ibadah Haji (TAIB) bagi menyelesaikan pelbagai kemusykilan yang dibangkitkan oleh jemaah di Tanah Suci berkaitan ibadah haji.

Pada masa ini, TAIB beroperasi dari 7 pagi hingga 12 tengah hari; 4.30 petang hingga 6.30 petang dan 8 malam hingga 10 malam.

"Talian ibadah ini akan berfungsi 24 jam, dua minggu sebelum Hari Wukuf dan seminggu selepas Hari Wukuf. Empat Pihtas akan bertugas secara bergilir untuk memberi penjelasan terhadap pelbagai kemusykilan kepada jemaah haji," katanya.

Sementara itu, Tengku Aziz berkata bahagian bimbingan turut mengatur 12 ceramah di Tanah Suci, melibatkan empat di Madinah dan selebihnya di Makkah.

"Ceramah itu untuk mengulang kaji ibadah haji dan umrah, seperti yang diadakan ketika jemaah berkursus di tanah air. Kita juga akan beri penjelasan mengenai persiapan untuk melaksanakan ibadah semasa di Arafah, Mina dan Muzdalifah," katanya.

-- BERNAMA