GEORGE TOWN: Pembangunan Hab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kesemua 27 kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh komuniti.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Hab STEM merupakan usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran siswa guru, pensyarah IPGM, guru dan murid sekolah serta komuniti dalam bidang STEM sekali gus berperanan sebagai platform menggalakkan inovasi serta kreativiti.

"Pendidikan ini bukan sifatnya hanya di sekolah tetapi harus merentas semua peringkat dan ini sangat penting khususnya apabila program atau projek Hab STEM seperti ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh komuniti.

"Jadi, peranan IPGM sebagai teaching school dapat diperluaskan dan dipertingkatkan khususnya kepakaran pensyarah-pensyarah di peringkat IPGM ini dapat dimanfaatkan untuk semua sekolah dalam rangka kita mengangkat pendidikan STEM negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab STEM IPGM Peringkat Kebangsaan di IPGM Kampus Pulau Pinang di sini semalam.

Beliau juga berharap semua kelengkapan disediakan termasuk makmal sains, ruang bengkel teknologi, bilik komputer, dan peralatan relevan seperti robotik, kit elektronik serta pencetak 3D dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekolah dan guru-guru STEM.

"Semua sekolah boleh manfaatkan kelengkapan ini dan IPGM ada menawarkan bukan sahaja program modul tetapi kepakaran. Sebagai contoh di IPG Pulau Pinang, kepakaran mereka adalah Sains dan Matematik, jadi, memang kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kepakaran itu di sini," katanya.


Fadhlina memaklumkan KPM memperuntukkan RM12,000 bagi pembangunan setiap Hab STEM di IPGM dalam usaha memperkasakan pendidikan STEM selaras dengan hala tuju dan inisiatif Reformasi Pendidikan yang giat dilaksanakan KPM di setiap peringkat.

Beliau berkata Hab STEM dibahagikan kepada beberapa komponen utama seperti pelaksanaan aktiviti STEM secara praktikal, latihan dan bengkel untuk guru serta murid di sekolah di kawasan setempat, program komuniti STEM, kerjasama dengan agensi luar dan industri untuk memastikan ia relevan dan berkesan.

Katanya, setiap komponen tersebut dirancang untuk menyokong matlamat keseluruhan program iaitu untuk memperkukuh pendidikan STEM dan meningkatkan enrolmen STEM.

Menurut KPM, penubuhan Hab STEM di kampus IPGM dapat meningkatkan kualiti latihan guru, menyokong pengajaran berdasarkan kepada amalan terbaik, memupuk inovasi dalam pengajaran, melahirkan guru yang kompeten dalam STEM, memperkasakan pendidikan STEM di sekolah, menyediakan pusat rujukan dan kolaborasi serta menarik minat pelajar terhadap kerjaya dalam bidang STEM.

Hab STEM dilancarkan secara serentak di kesemua 27 IPGM seluruh Malaysia semalam selepas perancangannya dimulakan sejak Jun lepas.

-- BERNAMA