Ringkasan AI
- Seorang guru tadika dihukum penjara dua bulan kerana menampar muridnya yang berusia empat tahun bulan lalu.
- Guru tersebut, M Malini, mengaku bersalah atas tuduhan memukul kanak-kanak lelaki itu di tadika di Jalan Pandamaran pada 13 Mei lalu.
- Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap dan membenarkan penangguhan hukuman serta ikat jamin sehingga rayuan keputusan kes di Mahkamah Tinggi.
M Malini, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Siti Zubaidah Mahat.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah mencederakan kanak-kanak lelaki itu, dengan cara memukul pipi dan belakang badan mangsa di sebuah tadika di Jalan Pandamaran, pada jam 9.36 pagi, 13 Mei lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang minimum kerana dia tidak berkemampuan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ching Hong mencadangkan, mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran.
“Seorang guru sepatutnya menunjukkan kasih sayang dan bukan memukul kanak-kanak sehingga lebam, malah menyebabkan trauma kepada mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan keputusan kes di Mahkamah Tinggi.
Ia selepas tertuduh kembali semula ke mahkamah, sejurus melantik seorang peguam, bagi prosiding rayuan penangguhan hukuman.
Semasa prosiding, peguam, A Birantha yang mewakili tertuduh berkata, penangguhan hukuman perlu diberi kerana anak guamnya baru sahaja berkahwin.
“Dia tidak mendapat nasihat daripada mana-mana peguam ketika pertuduhan dibaca terhadapnya.
“Anak guam saya anggap, dia hanya akan didenda sekiranya membuat pengakuan bersalah,” katanya.
Sementara itu, pendakwaan tidak membantah perkara itu dan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Majistret membenarkan permohonan penangguhan dan ikat jamin sebagai mana yang dicadangkan pendakwaan. - Sinar Harian