MELAKA: Tiga guru dan seorang pembantu tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya dua kanak-kanak di bawah jagaan mereka, sejak Mac lalu.


Ringkasan AI
  • Tiga guru tadika dan seorang pembantu tadika di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan dan menganiaya dua kanak-kanak di bawah jagaan mereka sejak Mac lalu.
  • Mereka didakwa mendedahkan serta mengabaikan dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun di premis Bonda Preschool, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak sehingga awal Mei 2024, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.
  • Hakim membenarkan dua daripada tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan dua lagi diikat jamin RM10,000 serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 dan 30 Julai ini, sementara prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Asnini Kamarudin.


Keempat-empat tertuduh ialah tiga guru tadika, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24, Hafsah Ab Razak, 33, Nur Diyana Zainudin, 24, dan seorang pembantu tadika sama, Jamia Abd Rahman, 41.

Pengakuan itu dibuat sejurus satu pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan pada dua prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa  mendedahkan serta mengabaikan dua kanak-kanak lelaki yang juga pasangan adik-beradik berusia empat dan enam tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan di premis Bonda Preschool, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak antara pertengahan Mac 2024 sehingga awal Mei lalu.

Bagi kesalahan itu kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam yang mewakili kesemua tertuduh Mohd Fadil Mohd Yusof memohon jaminan yang paling minimum dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan sekitar RM900 hingga RM1,500 sebulan.

Dia turut merayu tertuduh Jamia diberikan jaminan rendah kerana hanya bekerja sebagai pembantu dapur tadika dan tidak terlibat dalam penjagaan kanak-kanak.

Hakim Rohatul Akmar pada penghakimannya kemudian membenarkan Jamia dan Nur Hanis Azwani masing-masing diikat jamin sebanyak RM7,000 selain menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai ini.

Hakim Azaraorni pada penghakimannya menetapkan jaminan RM10,000 terhadap dua lagi tertuduh serta menetapkan 24 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran selain diarah untuk tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Asnini Kamarudin. Prosiding turut dihadiri peguam pemerhati keluarga mangsa Mohamed Ashmeer Mohamad  Ashrof.