SHAH ALAM: Bukit Aman mengesahkan menerima dua laporan daripada seorang pelajar sekolah berumur 16 tahun berkaitan dakwaan seorang guru bergurau seolah-olah menggalakkan perbuatan rogol, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan tersebut diterima pada Sabtu dan Ahad.

“Laporan pertama dibuat berkaitan apa yang dirasakannya mengenai pendekatan guru yang dirasakan tidak sesuai. Laporan kedua pada malam semalam (Ahad), satu lagi laporan tambahan, berkaitan gurauan seorang rakan sekelasnya yang dia tidak boleh terima.

“Kedua-dua laporan kita telah satukan dalam satu siasatan. Kita juga telah mengambil keterangan daripada orang yang berada di tempat kejadian, termasuklah pengadu.

"Sekarang ini, kita (polis) sedang giat ambil keterangan rakan sekelas untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

BACA: Pelajar dakwa guru galak perbuatan rogol

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Tambah beliau, setakat ini polis sudah merakam keterangan pelajar dan guru terbabit.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.


Lawak Rogol | Tindakan mempersenda harus diberi perhatian

Dakwa seorang pelajarnya itu, kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut, sebelum keadaan bertukar menjadi sebaliknya.