Guan Eng menegaskan lantikan itu dibuat berdasarkan kemampuannya yang boleh menguruskan hal ehwal kewangan negara selepas mencatat prestasi membanggakan di Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri.
"Saya tidak mahu menjadi Menteri Kewangan jika saya dipilih hanya kerana saya orang Cina. Saya rakyat Malaysia, saya bukan orang Cina.
Ini bukan satu tugas mudah. Tun Dr Mahathir memilih saya berdasarkan prestasi saya di Pulau Pinang yang mana saya dapat mengurus kewangan dengan baik sehingga mencatat lebihan tahunan.
"Itulah sebabnya beliau mahu yang terbaik untuk menyelamatkan negara,” katanya ketika majlis malam malam DAP Air Putih, semalam.
Dalam majlis itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang tidak kira Melayu, Cina atau India kerana bersepakat membuat pilihan tepat ketika PRU14 lalu.
“Ini membuktikan rakyat Pulau Pinang mahukan Malaysia baharu. Mereka mahu pemimpin yang boleh bekerja. Ini adalah tanggungjawab sangat berat dan kami akan berjuang untuk anda setiap hari bagi memastikan kita mempunyai negara yang lebih baik untuk anak-anak," katanya.
Pada sidang media ketika pengumuman tiga menteri Kabinet pada 12 Mei lalu, Guan Eng menjawab soalan daripada seorang pengamal media dari China, menegaskan, biarpun berbangsa Cina, beliau mahu masyarakat mengenalinya sebagai orang Malaysia.
"Kami semua di sini orang Malaysia, tanpa mengira warna kulit atau agama. Apa yang penting adalah memberi khidmat kepada rakyat," katanya.