INTEL, Google, Microsoft, Meta AMD, Hewlett Packard Enterprise, Broadcom and Cisco telah menubuhkan Ultra Accelerator Link (UALink) Promoter Group bagi membangunkan komponen sumber terbuka yang menyambungkan cip pemecut AI di pusat data.

Kumpulan ini ingin menyeragamkan satu piawaian yang digunakan oleh industri untuk menyambungkan pemecut AI dalam bentuk CPU atau GPU yang diperlukan di pusat data melatih model AI.

Piawaian ini diperlukan bagi mengelakkan inovasi dikuasai oleh satu syarikat sahaja.

Dengan penglibatan syarikat-syarikat teknologi utama untuk menggunakan UALink, setiap ahli boleh menyumbang kepakaran mereka untuk faedah bersama.

Oleh itu UALink Consortium akan ditubuhkan pada Q3 2024 yang akan membangunkan spesifikasi UALink di masa hadapan.

Dengan pembentukan kumpulan ini, piawaian UALink 1.0 telah diumumkan dan ia boleh menyambungkan 1024 pemecut AI di dalam sebuah pod perkomputeran di pusat data.

UALink 1.0 menggunakan piawaian terbuka seperti AMD Infinity Fabric. Produk pertama UALink 1.0 akan dilancarkan dalam masa beberapa tahun lagi.

NVIDIA tidak menyertai UALink Promoter Group kerana pada waktu ini mereka menggunakan sambungan pemacu AI mereka sendiri.

Pada ketika ini NVIDIA memegang 90% pasaran GPU pusat data yang membantu mereka mencatatkan peningkatan pendapatan 262% pada suku lalu berbanding suku yang sama tahun lalu.

UALink Promoter Group ialah sebuah lagi usaha industri untuk mengurangkan kuasa NVIDIA dalam dunia AI.

Pada Mac lalu Intel, Google, Arm, Qualcomm, Samsung dan beberapa syarikat teknologi lain telah menubuhkan The Unified Acceleration Foundation (UXL).

Menerusi UXL, pembangunan AI tidak lagi akan terikat kepada penggunaan bahasa pengaturcaraan tertentu, asas kod dan alatan lain yang mengikat mereka kepada seni bina khusus, seperti platform CUDA oleh Nvidia. -Amanz