TEKNOLOGI berasaskan kecerdasan buatan (AI) dilihat telah mengalami perkembangan pesat dalam beberapa tahun terakhir ini, dengan kemampuan yang semakin canggih.

Proses kerja AI juga adalah lebih laju berbanding manusia. Meskipun memiliki banyak kemahiran, AI lazimnya belum cukup berkemampuan untuk menangani masalah-masalah matematik yang kompleks.

Google mengumumkan bahawa dua daripada model AI DeepMind mereka kini dapat menyelesaikan beberapa masalah matematik kompleks.

Dua model AI terbaharu itu ialah AlphaProof, yang khusus kepada soalan penaakulan matematik, dan AlphaGeometry 2 yang memfokuskan kepada soalan matematik geometri.

Kedua-duanya bekerjasama dan berjaya menyelesaikan empat daripada enam masalah matematik kompleks dalam pertandingan International Mathematical Olympiad (IMO) tahun ini dengan tahap yang sama seperti pemenang pingat perak.

Sebagai maklumat tambahan, International Mathematical Olypiad (IMO) ini adalah pertandingan terbesar dan tertua yang paling berprestij untuk ahli matematik muda dan ia diadakan setiap tahun sejak 1959.

Lebih mengagumkan lagi adalah apabila kemampuan AlphaProof yang tidak hanya memberikan jawapan tepat tetapi turut membuktikan bahawa jawapan tersebut benar melalui jalan kira matematik formal.

Pencapaian ini tidak berhenti di situ, menurut Google DeepMind mereka akan terus meneroka pelbagai lagi pendekatan AI yang dapat menambah baik dan mempertingkatkan lagi kemampuan AlphaProof.

Pencapaian model AI oleh DeepMind ini juga sekaligus menandakan kemajuan AI dalam menangani masalah matematik kompleks yang sebelum ini hanya boleh diselesaikan oleh manusia.

Namun, penting untuk kita sedari bahawa kemampuan AI ini pastinya memiliki batasan dan masih lagi belum mampu untuk menggantikan kebolehan dan kreativiti manusia secara sepenuhnya. -Amanz