SHAH ALAM : Kerajaan tidak tergesa-gesa dalam melakukan penyelarasan subsidi diesel sebaliknya ia dilakukan selepas kajian menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek diselesaikan.


Ringkasan AI
  • Penyelarasan Subsidi Diesel: Kerajaan tidak tergesa-gesa dalam melakukan penyelarasan subsidi diesel. Kajian menyeluruh dilakukan, dan selepas mempertimbangkan kesan rantaian, kerajaan menambah 23 jenis pengangkutan lagi untuk menerima Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
  • Pendekatan Subsidi: Subsidi diesel masih ada dan disasarkan kepada yang memerlukan. Terdapat 33 jenis pengangkutan yang terus menerima subsidi, dengan harga runcit di stesen minyak pada kadar RM2.15 untuk barangan dan RM1.88 bagi sektor pengangkutan awam.
  • Bantuan Kepada Pengguna Diesel: Bagi pengguna diesel dengan pendapatan agak rendah, kerajaan memberikan intervensi melalui pemberian Budi MADANI sebanyak RM200. Lebihan dana subsidi diesel akan disalurkan untuk membantu rakyat.


Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagai contoh, Mei tahun lepas, kerajaan memutuskan hanya 10 jenis pengangkutan awam dan sembilan pengangkutan barangan diberikan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Begitupun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, selepas kajian lebih mendalam dan mengambil kira kesan rantaian, kerajaan menambah 23 jenis pengangkutan lagi untuk menerima SKDS.

Jelasnya, bak kata Perdana Menteri, tiada sistem yang sempurna dan kerana itu, KPDN sentiasa memantau isu tersebut saban hari.

Dalam pada itu, beliau mengulangi kenyataannya bahawa subsidi diesel masih ada, tidak dimansuhkan dan kini disasarkan kepada yang betul-betul memerlukan.

"Kita ada pendekatan lain selain daripada kenderaan tertentu, sama ada sektor awam, atau barang, ada 33 jenis pengangkutan yang terus menerima subsidi, harga runcit di stesen minyak pada kadar RM2.15 untuk barangan dan RM1.88 bagi sektor pengangkutan awam.

"Kedua, bagi pengguna yang menggunakan diesel, dengan pendapatan agak rendah, kerajaan memberikan intervensi dengan pemberian Budi MADANI dengan pemberian RM200.

"Kita bukan nak menafikan, pastinya risiko kesan rantaian itu akan berlaku, itu yang kerajaan lihat, mengkaji dan meneliti," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Shah Alam pada Jumaat.

Jelasnya lagi, dalam peruntukan kerajaan, jika sebelum ini subsidi diesel adalah RM14 bilion, kini RM10 bilion diperuntukkan dan lebihan RM4 bilion itu akan disalurkan untuk membantu rakyat.