KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui menerima laporan kenaikan harga rempah ratus menjelang sambutan Deepavali seperti yang didakwa Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA).


Ringkasan AI
  • KPDN mengakui menerima laporan kenaikan harga rempah ratus menjelang Deepavali, seperti yang didakwa oleh Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA).
  • KPDN telah melakukan semakan dan mendapati kenaikan harga tidak melibatkan semua barangan yang dinyatakan oleh PHA. Kenaikan harga adalah biasa dan bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan.
  • KPDN telah mengeluarkan notis kepada peniaga yang terlibat untuk menjelaskan sebab kenaikan harga. Kerajaan akan terus memantau situasi ini dan tidak akan lepas tangan.


Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun berkata, melalui hasil semakan pihak Kementerian, ia tidak melibatkan semua barangan yang dimaklumkan PHA.

"Kita telah semak, memang ada berlaku pergerakan harga barang-barang yang dinyatakan, perbandingan dibuat antara bulan Oktober 2023 dengan September ini.

"Trend (kenaikan harga) kebiasaan akan ada berlaku bukan hanya musim perayaan. Ada (harga barang) turun (dan) naik bersandarkan kepada faktor penawaran dan permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali, di Nu Sentral, pada Khamis.

Pada 16 Oktober lalu, PHA memaklumkan berlaku kenaikan harga barangan keperluan terutamanya rempah ratus hingga 250% menjelang sambutan Deepavali pada minggu depan.

Presiden PHA, P Murugiah berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di beberapa kedai runcit susulan aduan diterima dan mendapati terdapat peningkatan harga agak membimbangkan berbanding tahun lepas.

Menurut Murugiah, agak mengejutkan apabila harga buah pelaga melonjak daripada RM40 sekilogram pada 2023 kepada RM140 sekilogram tahun ini, dan daripada 19 barangan yang dikaji, tujuh daripadanya mengalami kenaikan 100 peratus.

Dalam pada itu, Armizan berkata pihaknya telah mengeluarkan beberapa notis terhadap peniaga terlibat untuk menjawab sebab utama menaikkan harga barangan tersebut.

"Yang penting sebaik sahaja menerima laporan media tersebut kita telah buat pemantauan. Kerajaan tidak akan lepas tangan," katanya.