Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membenarkan penangguhan itu ke tarikh baharu iaitu 19 Dis depan selepas dicadangkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka Atras Mohamad Zin.
Atras berkata penangguhan pertuduhan bagi ketiga-tiga mereka yang didakwa di bawah Seksyen 91 dibaca bersama Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 itu adalah untuk dituduh secara bersama tujuh lagi orang yang disyaki (OYDS) dalam kes yang sama.
Beliau berkata secara dasarnya pendakwaan telah memfailkan ketiga-tiga pertuduhan ke atas mereka di bawah seksyen tersebut namun pihaknya memohon penangguhan pertuduhan hari ini untuk disekalikan bersama tujuh OYDS lain.
Peguam Syarie Mohd Hafizudin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad yang mewakili adik-beradik itu tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim membenarkan permohonan penangguhan dan mengarahkan setiap tertuduh yang masing-masing berusia 38, 42 dan 45 tahun dikenakan jaminan RM3,000 atau dengan dua penjamin serta menetapkan pertuduhan ke atas kesemua 10 individu berkenaan pada 19 Dis.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan ketiga-tiga mereka membayar bon jaminan RM1,000 untuk membenarkan permohonan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam yang memperuntukkan penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Media sebelum ini melaporkan ketiga-tiga OYDS itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah dalam operasi Op Global yang membabitkan serbuan ke atas 19 premis, dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).
Dalam serbuan tersebut, 11 individu iaitu tiga lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
-- BERNAMA