KUALA LUMPUR: Sarjana Islam yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jawatankuasa itu turut dianggotai lima lagi pakar dalam bidang akidah.

Beliau berkata sukatan pelajaran pemulihan itu juga memfokuskan kepada kaedah dan cara yang sesuai untuk memulihkan fahaman akidah mangsa serta pengikut GISBH, khususnya kanak-kanak.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memang ada modul pemulihan akidah termasuk untuk pengikut-pengikut Al-Arqram ... cuma sukatan pelajaran dan modul untuk golongan dewasa.

"Jadi kita belum ada lagi sukatan pelajaran modul khusus untuk anak anak, jadi saya telah amanahkan Ustaz Fauwaz dan lima anggota yang juga pakar akidah untuk membangunkan sukatan pelajaran berkenaan supaya kita dapat memulihkan akidah pengikut dewasa serta anak-anak," katanya.