GAZIANTEP (Turkiye): Pasukan MAS-01 SMART menemukan enam mayat mangsa gempa bumi di sebuah bangunan hotel dan kediaman tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya di Nurdagi di sini, pada Jumaat.

Lima mayat terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki dipercayai sekeluarga itu dijumpai pada 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) manakala mayat keenam iaitu seorang wanita ditemukan pada 2.10 petang (7.10 malam waktu Malaysia).

Pasukan MAS-01 SMART ialah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Malaysia yang pertama dihantar ke Turkiye, Isnin lepas.

Pada Rabu, kerajaan Malaysia menghantar satu lagi pasukan SAR terdiri daripada 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Turut menyertai pasukan berkenaan ialah dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan seorang petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Nurdagi adalah antara kawasan di Gaziantep yang teruk terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye, Isnin lepas.

Pemerhatian Bernama yang tiba di sini pada pukul 3 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia) pada Jumaat, mendapati bandar Nurdagi mengalami kemusnahan teruk, apabila bangunan kediaman setinggi dua hingga tujuh tingkat runtuh sepenuhnya.

Kawasan runtuhan ditugaskan kepada pasukan MAS-01 SMART ialah sebuah hotel dan kediaman setinggi tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya dan dipercayai terdapat lebih 100 mangsa terkorban dalam runtuhan bangunan itu.

Lebih menyedihkan, ramai anggota keluarga yang terselamat berkumpul di sekitar kawasan runtuhan berkenaan melihat usaha SAR yang dilakukan oleh pasukan penyelamat tempatan dan Malaysia dengan harapan dapat melihat anggota keluarga mereka dijumpai dalam keadaan masih hidup.

Namun, berdasarkan pengamatan Bernama, peluang untuk mangsa yang hidup dijumpai mungkin amat tipis berikutan sudah lama terperangkap serta cuaca sejuk melampau dengan bacaan kosong hingga tiga darjah Celcius pada waktu siang dan boleh menurun hingga -6 darjah Celcius pada waktu malam sehingga sebelum matahari terbit pada kira-kira 7.30 pagi.

Pasukan SMART melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdag, Gaziantep, 10 Feb 2023. --fotoBERNAMA

Mangsa yang terselamat kebanyakannya masih berada di sekitar sini dan tinggal di khemah-khemah yang disediakan oleh The Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD), sebuah agensi pengurusan bencana kerajaan Turkiye.

Berikutan cuaca sejuk yang melampau, ramai dalam kalangan mereka dilihat tidur atau berhimpun di depan unggun api untuk memanaskan badan.

Difahamkan, ramai anggota pasukan MAS-01 SMART turut melakukan perkara sama, malah ramai antara mereka memberitahu hanya tidur dua atau tiga jam kerana cuaca yang amat sejuk.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas, telah meragut ribuan nyawa.

Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Jumlah korban dalam tragedi gempa bumi kuat di Turkiye terus meningkat dengan setakat ini seramai 20,318 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 80,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik agensi bencana negara itu pada Jumaat.

Pada Selasa, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

-- BERNAMA