ACCRA: Jasad pemain bola sepak Christian Atsu Twasam telah dibawa pulang ke negara asalnya Ghana pada Ahad.

Atsu, 31, meninggal dunia ketika gempa bumi melanda Turkiye dua minggu lalu.

Pesawat yang membawa jasad pemain bola sepak kelab Hatayspor itu mendarat di Accra lewat Ahad, sebelum kerandanya dibawa untuk upacara pengebumian oleh pasukan tentera Ghana.


Atsu ditemui mati pada Sabtu di bawah runtuhan kediamannya di selatan Turkiye.

Pemain sayap itu bermain 65 kali untuk pasukan kebangsaan Ghana dan membantu pasukannya mara ke final Piala Negara-Negara Afrika 2015.

Atsu juga pernah bermain untuk kelab Liga Perdana Everton dan Newcastle.


Bercakap di lapangan terbang Kotoka di ibu negara Accra, Naib Presiden Ghana Mahamudu Bawmia berkata: "Kami tegar menaruh harapan, setiap hari yang berlalu, kami berdoa dan terus berdoa. Tetapi malangnya, apabila ditemui, dia sudah tiada lagi."


Bawmia menambah mendiang Atsu amat disayangi dan amat dirindui.

"Ia satu kehilangan yang memedihkan, yang amat menyakitkan."

Bawmia berjanji mendiang Atsu akan diberikan upacara pengebumian yang sewajarnya.

Kelab Hatayspor pada mulanya melaporkan pemain itu berjaya diselamatkan dengan kecederaan.

Namun khabar gembira itu bertukar duka apabila ejennya mengesahkan berita kematian mendiang di Twitter pada Sabtu.