ISTANBUL: Meskipun berhadapan kesusahan di negara sendiri akibat perang, rakyat Yaman tetap menunjukkan sokongan dan solidariti yang luar biasa terhadap mangsa dua gempa bumi kuat yang mengorbankan ribuan penduduk di Turkiye.

Susulan bencana gempa bumi pada 6 Februari lepas, masyarakat Yaman melancarkan kempen derma sebagai balasan kepada Turkiye yang menghulur bantuan kemanusiaannya ke negara asal mereka yang dilanda perang saudara sejak lebih lapan tahun lepas, lapor Anadolu Agency.

Kempen Yaman yang dilancarkan dengan kerjasama Kedutaan Yaman di Ankara, mengumpul 17 juta lira Turki (kira-kira AS$900,000), menurut laporan itu.

Menurut angka rasmi terkini, lebih 41,000 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera akibat gempa bumi di Turkiye.

Pada 18 Feb lepas, komuniti Yaman menghantar 10 trak yang sarat dengan bahan makanan, perubatan dan tempat perlindungan, dari Istanbul ke kawasan yang dilanda gempa bumi di selatan Turkiye.

"Kami tidak boleh membalas budi Turkiye yang sangat besar. Ini hanyalah bantuan sederhana dan ekspresi simbolik terhadap usaha tanpa henti Turkiye yang masih menghulur bantuan kepada rakyat Yaman," kata Nabila Saeed Al- Rabasi, jurucakap kempen itu kepada Anadolu.

"Turkiye menyediakan bantuan kepada rakyat Yaman melalui pelbagai organisasi bagi meringankan penderitaan penduduk," katanya.

"Turkiye juga melindungi beribu-ribu rakyat Yaman yang mencari perlindungan di negara itu sejak meletusnya perang."

Pada 13 Februari, aktivis Yaman yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkol Karman, mengumumkan bantuannya untuk membina semula 50 unit rumah yang apabila siap akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD).

Yayasan Tawakkol Karman juga menghantar konvoi bantuan pada Rabu dari Istanbul ke bandar Hatay di Turkiye.

Yaman terlibat dalam perang saudara sejak 2014 yang meragut nyawa lebih 230,000 yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merupakan krisis kemanusiaan terburuk di dunia dan menyebabkan 80 peratus daripada kira-kira 30 juta penduduknya bergantung kepada bantuan.

-- BERNAMA