SUBANG: Malaysia telah menggerakkan Operasi Starlight melibatkan anggota perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi misi Hospital Medan Tahap 3 di Turkiye.

Sesi penghantaran kumpulan pertama, terdiri daripada 36 pegawai dan anggota berserta peralatan seberat 44 tan, selamat berlepas dari Pangkalan Udara Subang jam 3 pagi tadi.

Keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye menerusi tiga fasa penghantaran bermula hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

"Saya percaya semua maklum bahawa atur gerak pasukan ini wajar dilakukan demi memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi yang berlaku di Turkiye sejak 6 Feb lalu.

"Bagi meringankan beban negara Turkiye, Malaysia komited untuk menghulurkan bantuan yang mana, pasukan SMART negara telah pun berada di sana sejak 7 Feb lalu," kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada majlis penghantaran pasukan Operasi Starlight, awal pagi Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Turki di Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim Yuksel, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Hospital Medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan kapasiti 60 buah katil dan turut dilengkapi dengan kemudahan wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), radiologi dan makmal.

Ia juga menawarkan sembilan kepakaran iaitu perubatan primer, ortopedik, pembedahan, anestesia, maxilo-facial, obsterik dan ginekologi, pediatrik, oftalmologi dan perubatan kecemasan.

Hospital ini dikoordinasi bersama Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia, dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan tempoh pengoperasian selama enam minggu.