Gegaran gempa bumi di Laut Sulu hari ini turut dirasai di sini.

Gempa berukuran 5.6 pada skala Richter itu terletak 194 kilometer dari timur laut Kinabatangan.

Kesan gegaran menyebabkan kira-kira 200 orang yang sedang berada di dalam bangunan Wisma Majlis Perbandaran Sandakan terpaksa bergegas keluar.

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Hamsan Awang Supain yang turut berada di dalam bangunan tersebut berkata gegaran dirasai kira-kira pukul 9.30 pagi.



Beliau berkata 50 pegawai MPS yang sedang bermesyuarat dengannya diarah untuk mengosongkan bangunan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kerja Raya dipanggil bagi membuat pemeriksaan struktur bangunan.

Selain Sandakan, gegaran juga dilapor berlaku di Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.