Semua sekolah di Perlis, Jerantut dan Temerloh di Pahang akan ditutup esok, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada petang Ahad, yang mengarahkan supaya semua sekolah di kawasan-kawasan tersebut ditutup sebagai langkah penjagaan terhadap kesihatan pelajar.

"Berdasarkan pemantauan Kementerian Pendidikan terhadap cuaca kering dan panas sehingga 10 April mendapati negeri Perlis, daerah Jerantut dan daerah Temerloh di Pahang mencatat bacaan suhu tertinggi melebihi 37 darjah celsius pada satu-satu masa setiap hari dan melebihi 72 jam.

"Sehubungan itu KPM ingin memaklumkan bahawa semua sekolah di negeri Perlis, daerah Jerantut dan daerah Temerloh di negeri Pahang akan ditutup selama satu hari iaitu pada 11 April 2016," kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, penutupan itu melibatkan sejumlah 259 sekolah iaitu 68 sekolah menengah dan 191 sekolah rendah.

Manakala, jumlah pelajar terbabit pula adalah seramai 97,533 orang iaitu 91,862 murid sekolah menengah dan rendah serta 5,671 murid prasekolah.

Kata kenyataan itu lagi, penutupan sekolah bagi maksud cuaca panas hanya membabitkan ketidakhadiran pelajar sahaja dan penutupan berkenaan juga tidak perlu diganti.

"Semua guru dan kakitangan sekolah hendaklah hadir ke sekolah masing-masing dan bertugas seperti biasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti mesyuarat, merancang pengajaran dan pembelajaran termasuklah tugas-tugas rutin dan lain-lain tugas yang tidak melibatkan murid," tambah kenyataan tersebut.