Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (Gaum) akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman yang mendakwa seorang pegawai tinggi dalam kerajaan negeri memiliki sebuah pesawat persendirian.

Pengerusi Gaum Datuk Zulkarnain Mahdar berkata Mohd Azis telah bertindak salah dengan menabur fitnah kononnya pesawat jenis Gulfstream G200 itu dimiliki Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, walaupun Sabah Air Aviation Sdn Bhd (Sabah Air) telah menjelaskan pesawat itu miliknya.

"Penjelasan oleh Sabah Air bahawa Gulfstream G200 itu sebenarnya milik dan dikendalikan syarikat itu jelas menunjukkan kualiti yang sangat rendah cara berpolitik dan bekerja Ketua Pemuda Warisan.

"Sepatutnya, beliau (Mohd Azis) perlu membuat kajian terperinci dan perlu memiliki fakta yang sahih terlebih dahulu, sebelum membuat serangan berunsur politik terhadap Ketua Menteri.

"Bukannya mengutip bukti daripada Facebook milik orang lain dan menjadikannya sebagai satu bukti," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

-- BERNAMA